KUALA LUMPUR – Semua pihak yang pernah berada di luar UMNO dialu-alukan untuk kembali bersama parti itu dalam usaha membentuk sebuah keluarga besar yang lebih kukuh.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, penyatuan semula amat penting bagi membolehkan parti mengumpulkan lebih banyak tenaga, pemikiran dan pengalaman untuk memikul tanggungjawab yang semakin besar.
Beliau berkata, UMNO memerlukan kekuatan bersama termasuk penglibatan generasi muda yang dilihat mampu membawa tenaga dan pemikiran baharu dalam menghadapi pelbagai masalah rakyat.
“Kita semua mengalu-alukan mereka masuk balik ke dalam (UMNO). Kita nak satu keluarga yang besar.
“Banyak tanggungjawab yang kena kita pikul. Kita perlukan banyak tenaga dan fikiran untuk menyelesaikan masalah orang,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Menurut Razaleigh, penglibatan golongan muda amat penting kerana mereka mempunyai keupayaan untuk membawa pendekatan serta pemikiran yang bersesuaian dengan cabaran semasa.
Beliau turut menyambut baik sekiranya generasi muda dapat memainkan peranan lebih besar dalam usaha menyatukan semula kekuatan parti.
“Saya rasa itu bagus. Kita boleh bersatu semula, insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















