KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) mengesan lapan percubaan penipuan tempahan perolehan kerajaan yang menyebabkan kerugian melebihi RM200,000 kepada dua pembekal, setakat hari ini.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihak scammer turut didapati membuat pemalsuan dokumen melibatkan perolehan kerajaan dan menggunakan kepala surat JAS palsu.
Mereka turut memalsukan tandatangan pihak pengurusan JAS.
“Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat bagi kesemua kes untuk tindakan lanjut pada 9 September lalu. Laporan juga telah dibuat kepada Bahagian Kewangan JAS Ibu Pejabat.
“JAS WPKL telah meminta pembekal tersebut membuat laporan polis berkaitan penipuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Sharifah Zakiah, penipuan mula dikesan 4 September lalu apabila seorang pembekal peralatan selaman hadir untuk membuat semakan kesahihan dokumen perolehan kerajaan.
Sebelum itu, JAS WPKL juga ada menerima beberapa pertanyaan tentang dokumen perolehan kerajaan berkenaan mulai pertengahan Ogos lalu.
Katanya, pada 8 September, seorang wakil syarikat pembekal telah hadir ke pejabat JAS WPKL untuk membuat pertanyaan tentang pesanan tempahan cenderamata bernilai lebih RM100,000 yang kononnya dibuat oleh jabatan itu.
Tempahan cenderamata ini dikatakan untuk kegunaan program yang kononnya turut akan diadakan oleh JAS WPKL.
“Semakan JAS WPKL mendapati tiada sebarang pesanan cenderahati atau apa-apa tempahan program telah dibuat oleh JAS WPKL.
“Tempahan yang diterima pembekal didapati menggunakan dokumen palsu yang turut menggunakan nama-nama pegawai JAS WPKL secara tidak sah.
“Berdasarkan maklumat pembekal, mereka mendakwa telah memindahkan lebih RM100,000 kepada pihak tertentu sebagai pembayaran awal untuk cenderahati yang kononnya akan digunakan untuk program,” katanya lagi.
Menurut pembekal, bayaran cenderahati ini kononnya akan dibayar semula kepada pihaknya melalui bayaran keseluruhan untuk program.
Tambah beliau, pada 10 dan 11 September 2026, JAS masih menerima pertanyaan mengenai pesanan perolehan kerajaan palsu.
Justeru, JAS WPKL ingin menasihati semua pembekal dan kontraktor mengambil sikap berhati-hati dan membuat semakan kesahihan dokumen perolehan kerajaan yang diterima. -MalaysiaGazette
















