Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii bercakap kepada media ketika di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Trend ‘cukup-cukup lah guru’ yang tular di media sosial dilihat mencerminkan keresahan rakyat terhadap janji politik yang didakwa tidak ditunaikan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, mesej yang cuba disampaikan rakyat menerusi trend berkenaan tidak wajar dipandang ringan.

Beliau berkata, rakyat kini semakin menilai perbezaan antara apa yang dijanjikan sebelum ini dengan apa yang akhirnya dilaksanakan kerajaan.

“Rakyat merasakan ada yang kena tipu dan ada yang kena muslihat. Cakap depan lain, cakap belakang lain.

“Sering kali perkara yang sepatutnya dibuat tidak dibuat dan perkara yang telah dijanjikan tidak ditunaikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Menurut Razlan, keadaan itu turut berlaku apabila sesuatu dasar kerajaan berubah selepas mengambil kira perkembangan politik.

“Yang penting mesej itu sampai. Semua orang faham apa yang dimaksudkan.

“Rakyat melihat sendiri perkara yang berlaku dalam pentadbiran dan mereka akan membuat penilaian,” katanya.

Beliau berkata, persepsi berkenaan akhirnya boleh memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat kepada kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Rakyat diminta bersabar dan menunggu masa yang sesuai untuk kembali menentukan mandat baharu menerusi pilihan raya,” katanya.

Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rakyat perlu menilai sendiri segala perkembangan politik dan pentadbiran sebelum membuat keputusan di peti undi.

“Perkembangan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan trend positif merentasi pelbagai kaum.

“Saya harap rakyat boleh buka mata dan bersabar sedikit,” katanya.

Beliau mendakwa akan berlaku lebih banyak tindakan kerajaan yang boleh menimbulkan persoalan mengenai penyalahgunaan kuasa menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat membuat penilaian berdasarkan prestasi sebenar kerajaan dan bukan hanya berdasarkan retorik politik.

“Undilah parti yang membawa gelombang biru dan mahu menjadikan agenda Malaysia Biru bersama-sama dengan rakan-rakan baharu, termasuk Pas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here