KUALA LUMPUR – Pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam bentuk hibrid tidak sepatutnya dicadangkan tanpa membuat kajian menyeluruh.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii, setiap sistem percukaian perlu berdasarkan formula terbaik yang telah terbukti berkesan di peringkat antarabangsa.
“Dulu sudah terludah cakap, sudah terlepas cakap tidak mahu melaksanakan GST, akhirnya hendak buat GST hibrid.
“Malaysia ini kalau hendak buat sesuatu perkara, kita kena buat kajian betul-betul. Mana boleh hibrid-hibrid ini,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, sistem GST telah digunakan oleh banyak negara dan kerajaan perlu menilai keberkesanannya secara objektif.
“Takkanlah satu dunia melaksanakan GST itu tidak baik?” soalnya.
Beliau berkata, isu percukaian perlu dilihat sebagai agenda ekonomi negara dan bukan semata-mata percaturan politik.
“Pelaksanaan sistem percukaian lebih menyeluruh penting bagi meningkatkan hasil kerajaan serta memastikan kedudukan kewangan negara lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, Razlan mendesak kerajaan memberikan penjelasan lebih jelas kepada rakyat mengenai penggunaan hutang negara didakwa mencecah sekitar RM700 bilion.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persoalan utama rakyat bukan sekadar mengenai jumlah hutang, tetapi apakah pembangunan dan manfaat yang diperoleh hasil daripada perbelanjaan tersebut.
“Kalau pandemik kita habiskan RM200 bilion, mana lagi RM500 bilion?
“Tak nampak pun KLIA baharu, tak nampak Putrajaya baharu, tak nampak KLCC baharu,” katanya.
Katanya lagi, rakyat berhak mengetahui ke mana wang negara dibelanjakan dan apakah hasil yang diterima selepas peningkatan hutang tersebut.
“Isu kewangan negara perlu dijelaskan secara telus supaya rakyat tidak terus tertanya-tanya mengenai kedudukan sebenar ekonomi Malaysia.
“Rakyat mahu tahu mana pergi wang itu dan apa yang mereka dapat daripada perbelanjaan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















