Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail bercakap kepada media ketika di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – “Kalau sudah tak suka, sudah tak selesa, sudah tak sayang, lepaskanlah kami.”

Itu penegasan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail ketika mengulas mesej yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukan parti itu dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, kenyataan Ahmad Zahid tidak semestinya membawa maksud parti itu mahu menamatkan kerjasama dengan PH.

Sebaliknya katanya, ia lebih kepada teguran terhadap beberapa perkara yang dianggap tidak wajar berlaku terhadap UMNO dan pemimpinnya.

“Kuasa untuk menentukan sama ada kerjasama itu diteruskan atau sebaliknya berada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bukan kita kata kita nak menamatkan kerjasama dengan PH dan sebagainya. Tidak.

“Kita cuma bukan mempertikaikan, tetapi kita rasa ada beberapa perkara itu tak wajar dilakukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Fariz Hazurin berkata, tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap beberapa pemimpin UMNO seolah-olah sengaja dilakukan semata-mata untuk mencalarkan imej parti.

“Rata-rata pemimpin daripada kalangan UMNO disiasat, tapi dijadikan apa? Dah macam Teletubbies, jingga ada, ungu pun ada.

“Dua perkara ini nak membawa kepada maksud apa? Adakah ini untuk mencalarkan imej UMNO?” soalnya.

Menurut Fariz Hazurin, ungkapan Ahmad Zahid seperti “cukup-cukuplah” dan “hentikanlah” dilihat lebih sebagai kiasan kepada pihak tertentu supaya memahami keadaan yang sedang dilalui UMNO.

“Kalau dah tak suka, dah tak selesa, dah tak sayang, lepaskanlah kami. Kuasa untuk melepaskan ada pada Perdana Menteri.

“Kalau betul sudah tak sayang, tak cinta, tak suka, lepaskan kami,” katanya.

Bagaimanapun, Fariz Hazurin menegaskan beliau tidak melihat ucapan Presiden UMNO itu sebagai pengumuman untuk menamatkan kerjasama dengan PH.

“Perkara itu lebih kepada mesej bahawa UMNO tidak mahu terus berdepan keadaan yang dianggap tidak adil atau merugikan imej parti,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan perkembangan berkenaan mempunyai kaitan dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Memang mungkin. Tetapi bagi saya, kita sudah dengar Datuk Seri Presiden berkata, kalau PRU berlaku lebih awal pun tak ada masalah. Kami bersedia,” katanya.

Namun, katanya, keputusan berhubung pembubaran Parlimen tetap terletak pada Perdana Menteri.

“Apa pun, semuanya terpulang kepada Perdana Menteri sebab kuasa untuk membubarkan Parlimen ada pada tangan beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGaazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here