KUALA LUMPUR – Kehadiran Datuk Seri Azeez Rahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 kali ini disambut penuh kesyukuran oleh UMNO Kedah, dengan ‘doa orang yang teraniaya’ dianggap mempunyai makna tersendiri.
Pembahas ucapan dasar Presiden, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO Kedah bersyukur kerana kedua-dua pemimpin berkenaan yang sebelum ini dirisaukan tidak dapat hadir, akhirnya bersama perwakilan di perhimpunan itu.
“Alhamdulillah, dua pemimpin Kedah yang kita risaukan tidak dapat hadir, akhirnya bersama kita pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.

Menurut Shaiful Hazizy, isu yang melibatkan kedua-dua pemimpin terbabit bukan perkara baharu kerana mereka pernah melalui proses siasatan sebelum ini, termasuk pada 2018, sebelum kes berkenaan diselesaikan dan ditarik balik.
Katanya, Azeez yang juga pemimpin UMNO Bahagian Baling baru-baru ini berdepan tindakan reman dan dipakaikan baju oren sebelum dibebaskan.
“Datuk Seri Azeez Rahim kita tahu apa yang berlaku kepada beliau, tetapi Alhamdulillah beliau ada bersama kita hari ini,” katanya.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, Jamil Khir turut hadir dan bersama perwakilan mengangkat doa pada perhimpunan berkenaan.
“Doa kali ini, doa orang yang teraniaya. Kita percaya doa orang yang teraniaya ini mudah dimakbulkan,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran kedua-dua pemimpin itu memberi semangat kepada UMNO Kedah, khususnya ketika parti sedang berdepan pelbagai cabaran dan membuat persiapan menghadapi PRU-16.
Shaiful Hazizy turut menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO sebagai kemas dan berfokus kerana sarat dengan pesanan serta arahan, khususnya berkaitan persiapan menghadapi “perang besar” PRU-16.
Menurutnya, suasana Perhimpunan Agung UMNO tahun ini juga dirasakan berbeza dengan kehadiran ahli parti yang lebih ramai, termasuk pada sesi taklimat presiden sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menjadi petanda bahawa ahli UMNO perlu memperkemaskan gerak kerja dan bersedia melaksanakan tugasan penting yang menanti parti menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette
















