Wakil UMNO Siswa UiTM, Muhammad Hattim Iqbal Ghazali menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO Siswa menuntut kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya RM500 juta dalam Belanjawan 2027 khusus untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), terutama bagi memulihkan infrastruktur dan menambah kapasiti kolej kediaman mahasiswa.

Pembahas ucapan dasar Presiden, Muhammad Hattim Iqbal Ghazali berkata, peruntukan itu penting bagi memastikan mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, tidak terus terbeban dengan kos penginapan dan kehidupan sepanjang pengajian.

“Kepada Kementerian Kewangan saya katakan, jangan hanya kira berapa kos yang kerajaan perlu keluarkan. Kira juga berapa kos yang rakyat terpaksa tanggung apabila kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hattim, RM500 juta itu bukan untuk projek mewah atau mercu tanda, sebaliknya bagi memulihkan infrastruktur, menambah kapasiti kolej kediaman serta menaik taraf kemudahan kritikal mahasiswa.

“RM500 juta mungkin kelihatan besar di atas kertas. Tetapi kepada mahasiswa, RM500 juta itu bukan sekadar angka. Ia adalah katil. Ia adalah asrama. Ia adalah bangunan yang selamat. Ia adalah kemudahan yang berfungsi,” ujarnya.

Beliau berkata isu kolej kediaman perlu diberi perhatian kerana masih terdapat mahasiswa yang mempunyai merit baik tetapi berdepan kesukaran mendapatkan tempat tinggal, menyebabkan mereka terpaksa mencari rumah di luar kampus, membayar sewa dan pengangkutan atau bekerja sambilan untuk menampung kehidupan.

Katanya, sistem merit penting dalam menentukan kelayakan mahasiswa mendapatkan kolej kediaman, namun faktor sosioekonomi juga perlu diambil kira supaya mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan tidak dihukum hanya kerana mereka mempunyai kekangan kewangan.

“Jangan sampai mahasiswa yang paling memerlukan bantuan, akhirnya menjadi mahasiswa paling sukar mendapat bantuan. Itu yang perlu kita perbaiki,” jelasnya.

Muhammad Hattim turut mencadangkan pendekatan 3R iaitu membaiki, membuka semula dan menukar guna aset sedia ada UiTM seperti Kolej Cemara, Kolej Cendana, Kolej Kenanga dan Intekma bagi meningkatkan kapasiti penginapan mahasiswa.

“Kalau boleh dibaiki, baiki. Kalau boleh dibuka semula, buka. Kalau aset yang sedia ada boleh ditukar guna untuk mahasiswa, tukar guna,” katanya.

Beliau berkata, sasaran kerajaan menyediakan kemudahan kolej kediaman kepada 70 peratus pelajar prasiswazah menjelang 2035 adalah baik, namun mahasiswa yang sedang belajar pada 2026 tidak sepatutnya menunggu sehingga 2035 untuk mendapatkan kemudahan asas.

Dalam pada itu, Muhammad Hattim merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas usaha menangani isu infrastruktur serta kebajikan mahasiswa.

Katanya, penghargaan itu tidak bermakna UMNO Siswa akan berhenti menuntut penambahbaikan, sebaliknya usaha yang sedang dilaksanakan perlu dipercepatkan bagi memastikan masalah mahasiswa tidak berlarutan.

Beliau turut membawa contoh Universiti Malaysia Sabah (UMS) berdepan isu bekalan air dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkaitan kapasiti penginapan, yang menurutnya menunjukkan keperluan infrastruktur pendidikan tinggi perlu bergerak lebih pantas seiring pertambahan jumlah mahasiswa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here