KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri sedia disiasat kerana pihaknya percaya tidak mempunyai apa-apa niat tersirat untuk disembunyikan dalam memperjuangkan isu rasuah secara adil di negara ini.
Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi turut memberi jaminan bahawa akaun mereka sentias diaudit dan mempunyai rekod kewangan telus bagi membuktikann pengaliran keluar dan masuk bagi membiayai operasi NGO itu.
Justeru tegasnya, pembekuan bank Mandiri dan satu lagi NGO Hayat akan dicabar melalui saluran undang-undang selepas mereka masih belum menerima penjelasan jelas daripada pihak berkuasa mengenai asas tindakan itu.
“Ini berkaitan isu kewangan semuanya ada hitam putih, di mana duit masuk dan keluar dan kami punya akaun diaudit.
“Kalau kamu rasa ada kesalahan yang dilakukan kamu tangkap, kamu dakwa kami hantar ke penjara kerana kami tidak mahu duduk sebaris dengan mencuri dan merasuah yang merosakkan negara ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada satu himpunan aman bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan pembekuan akaun bank peribadi beliau, Pengarah Kewangan Mandiri, Dobby Chew serta akaun Mandiri dan Hayat.
Baru-baru ini, Amir dalam satu kenyataan mendakwa tiada notis rasmi atau penjelasan diberikan kepada pihak terlibat mengenai asas pembekuan akaun atau sekatan perjalanan ke atas dirinya dan Dooby serta dua NGO itu.
Mereka mendakwa hanya mengetahui asas pembekuan akaun menerusi surat daripada bank masing-masing selain berkata, masih belum dipanggil untuk disoal siasat berhubung sebarang dakwaan kesalahan ketika sekatan perjalanan dikenakan terhadap mereka.
Pembekuan akaun itu menurut Amir, menjejaskan keupayaan Mandiri dan Hayat untuk melaksanakan urusan organisasi termasuk pembayaran gaji, perbelanjaan program serta komitmen operasi lain.
Mengulas lanjut, Amir urut menafikan dakwaan bahawa Mandiri terlibat dalam percaturan politik atau bekerja untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rakan-rakan dalam kerajaan pernah bersama kita dan tahu kerja kita. Kita bukan di sini untuk jatuhkan siapa-siapa dan terlibat dengan kuasa politik.
“Organisasi masyarakat sivil tidak terlibat dalam pilihan raya. Kita bekerja untuk isu yang sama. Apa Mandiri sebut dulu dan sekarang adalah sama. Kita sebut antara musuh besar di negara ini adalah rasuah,” katanya.
Mei lalu, Mandiri menafikan dakwaan yang tular mengatakan NGO itu mendapat dana asing bagi menjatuhkan kerajaan. – MalaysiaGazette
















