MELAKA – “Dulu surat orang lain selalu sampai ke rumah saya, surat saya pula sampai ke rumah orang lain.”
Demikian keluhan seorang suri rumah, Atikah Shafik, 72, yang dahulunya sering berhadapan dengan masalah ‘kehilangan’ surat-surat penting.
Namun kebimbangan terhadap kemungkinan surat tidak sampai ke rumah itu tidak lagi berlaku apabila Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan program Kampung Digital di setiap kediaman di seluruh negeri sejak tiga tahun lalu.
“Dengan adanya program ini, Alhamdulillah semua surat sampai tepat ke alamat rumah yang boleh diimbas di kod QR yang ditampal di rumah saya,” katanya kepada MalaysiaGazzette ketika ditemui di rumahnya di Pernu, Melaka hari ini.

Perkara itu diakui seorang lagi suri rumah, Sabariah Md Yassin, 66, juga sering berhadapan masalah sama sebelum pelaksanaan Kampung Digital.
Menurutnya, masalah itu turut dialami pihak penghantar surat atau posmen yang mengalami kesukaran menghantar surat tepat ke rumah kerana alamatnya sama di semua kediaman.
“Kadang-kadang posmen tanya kita di mana alamat rumah pemilik surat dan saya pun tak boleh nak jawab.
“Apabila kerajaan negeri memperkenalkan program Kampung Digital ni, alamat rumah menjadi tepat,” jelasnya dari Telok Mas, Melaka.

Seorang peniaga minuman cendol, Zanariah Ahmad Khan, 66, dari Umbai turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan program Kampung Digital itu.
Sejak pelaksanaan program itu katanya, semua pesanan barangan jualannya sampai ke rumahnya tanpa ‘tercicir’ ke alamat lain.
“Apabila ada program Kampung Digital, semua rider yang nak ambil pesanan dari rumah saya amat senang sampai ke rumah. Tak perlu telefon berkali-kali tanya rumah di mana,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pernu, Asha’ari Abu Bakar, 71, berkata, lebih 200 kediaman di sekitar kawasan itu telah melaksanakan program Kampung Digital.
“Kalau dulu kita guna alamat perbatuan contohnya kilometer 12 tapi dengan menggunakan program Kampung Digital ini, kita gunakan alamat lot tanah.
“Kaedah ini lebih tepat sekali gus memudahkan posmen atau penghantar makanan dan barangan mengesan alamat dengan lebih mudah dan tepat,” jelasnya.

Kampung Digital ialah inisiatif Kerajaan negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dimulakan pada 7 April 2023 bertujuan mengubah sistem alamat kampung tradisional kepada sistem alamat digital yang tersusun, tepat dan mudah diakses.
Program berkenaan meliputi 657 kampung di seluruh Melaka dengan lebih 82,000 premis menerima alamat baharu.
Ia bertujuan mengatasi masalah alamat kampung yang tidak jelas atau sukar dikesan selain memudahkan penghantaran bantuan kebajikan dan perkhidmatan kecemasan. – MalaysiaGazzette
















