KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan semula pendekatan operasi bersepadu umpama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, cadangan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Operasi Kebangsaan itu akan menghimpunkan pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Beliau berkata penyelarasan strategik itu menghimpunkan agensi bagi menyelaraskan peranan masing-masing dengan lebih baik, malah dilihat lebih berkesan, khususnya dalam menangani kelemahan keselamatan di sepanjang sempadan darat dan maritim negara.
“Kami pernah melakukan perkara ini (operasi bersepadu) menerusi NTF ketika pandemik Covid-19 dan kami melihat ia terbukti berkesan dalam menyelaras usaha pelbagai agensi sebelum mekanisme itu diubah atas sebab tertentu.
“Oleh itu, saya percaya elemen pendekatan berkenaan wajar dikembalikan, walaupun tidak semestinya pada skala besar bagi menangani cabaran serta kelemahan keselamatan ketika ini,” katanya pada Sesi Temu Bual Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari ATM ke-93 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Malek Razak ketika menjawab soalan mengenai penugasan di lapangan berkata ATM mengawal kawasan tanggungjawabnya di sempadan negara sepanjang 24 jam dan secara konsisten merekodkan tangkapan penceroboh, namun tidak semestinya dihebahkan kepada media setiap masa.
“Malaysia juga mempunyai platform kerjasama erat dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia bagi menangani isu keselamatan rentas sempadan ini melalui pertukaran maklumat perisikan,” katanya.
Beliau ketika menyentuh mengenai isu ketirisan berkata, penerapan nilai integriti dan akhlak yang tinggi dalam kalangan anggota kekal menjadi perisai utama bagi menghalang mereka daripada terpengaruh dengan sebarang elemen rasuah di sempadan.
Sebagai rekod, NTF yang ditubuhkan khas bagi melaksanakan Ops Benteng bagi mengekang pencerobohan pendatang asing tanpa izin ketika pandemik pada 2020 telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Dis 2022. – BERNAMA
















