PUTRAJAYA – Kadar elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebanyak RM8 sejam akan disemak kepada julat yang lebih munasabah kerana kadar itu kini berada di bawah paras gaji minimum.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan kiraan mudah, anggota RELA yang bertugas lapan jam sehari selama 24 hari hanya menerima jumlah yang lebih rendah berbanding RM1,700, iaitu kadar gaji minimum.
Beliau berkata sekiranya anggota jabatan itu bertugas sehingga 12 jam sehari dalam tempoh sama, jumlah yang diterima hanya melebihi sedikit daripada kadar gaji minimum.
“RM1,700 adalah kadar gaji minimum. Jika mereka bertugas selama 24 hari, RM8 satu jam, kalau lapan jam sehari (bermakna) RM64 sehari dan RM64 kali 24 hari, (kadar itu) bawah gaji minimum.
“Kalau mereka bertugas 12 jam, RM96 kali 24 hari, lebih sikit sahaja daripada kadar gaji minimum,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Saifuddin Nasution ketika memperincikan perkara itu berkata, beliau meminta Ketua Setiausaha (KSU) KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman dan pegawai berkaitan meneruskan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi memuktamadkan kadar elaun baharu itu.
“Rundingan ini perlu dimulakan dan diusahakan segera supaya dapat dilaksanakan pada tahun kewangan terdekat. Kebajikan anggota RELA menjadi antara keutamaan KDN ketika ini, termasuk memastikan kadar elaun yang diterima bersesuaian dengan tugasan dan tempoh khidmat mereka,” katanya.
Beliau ketika mengulas mengenai Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) di institusi pengajian tinggi (IPT) berkata pasukan itu akan menerima elaun pada kadar sama seperti anggota RELA.
“Pemberian elaun ini akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan sedia ada, termasuk mengambil kira peruntukan bagi tahun berikutnya. Ini bagi meningkatkan kebajikan anggota RELASIS yang menjalani latihan ketika berada di universiti,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata jumlah anggota RELASIS yang mengikuti latihan di IPT tidak besar dan pemberian elaun itu dijangka tidak memerlukan peruntukan tambahan yang perlu diputuskan Jemaah Menteri.
“Saya mengumumkan supaya satu elaun diberikan kepada RELASIS pada kadar yang sama kerana semasa mereka berada di universiti, mereka menjalani latihan. Mereka tak laksana kerahan,” katanya.
Beliau berkata, RELASIS diwujudkan sejak 2017 dan penyertaan dalam pasukan beruniform berkenaan memberikan beberapa kelebihan kepada mahasiswa, antaranya dikecualikan daripada mengikuti Program Latihan Khidmat Negara.
Saifuddin Nasution berkata, pemberian elaun kepada RELASIS adalah antara langkah kebajikan yang boleh dilaksanakan segera, berbanding inisiatif membabitkan pasukan sukarelawan lain seperti Sukarelawan Polis dan Kadet Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang memerlukan pindaan akta serta keputusan Kabinet. – BERNAMA
















