Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mencabar Pas supaya menyatakan secara terbuka sama ada parti itu mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan selepas disabitkan dalam kes SRC International dan 1MDB.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, persoalan itu lebih wajar dijawab Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berbanding persoalan mengenai pihak yang meminta supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan.

“Bagi saya persoalan yang lebih wajar ialah, adakah Pas mahu Najib diampun?” soalnya menerusi hantaran di Facebook.

Sheikh Umar berkata, untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penangguhan berkenaan manakala kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan tiada mana-mana pihak lain campur tangan dalam perkara itu.

Menurutnya, persoalan yang dibangkitkan Takiyuddin seolah-olah cuba membina persepsi wujud campur tangan pihak lain sedangkan tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.

“Jadi, saya cadangkan lebih baik Pas berterus terang mengenai pendirian mereka sendiri. Adakah Pas mahu Datuk Seri Najib diberikan pengampunan selepas beliau disabitkan dalam kes SRC dan 1MDB?

“Itu lebih wajar dijawab oleh Takiyuddin dan Pas,” katanya.

Sheikh Umar berkata, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memutuskan pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Beliau berkata, pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi pula mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB.

Najib kemudian dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion, namun telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

“Maka soalan saya kepada Takiyuddin sangat mudah. Adakah Pas berpendirian Najib wajar diberikan pengampunan? Jika ya, nyatakan secara terbuka. Jika tidak, nyatakan juga dengan jelas,” tambah Sheikh Umar.

Beliau turut meminta Pas supaya tidak mengalihkan isu atau membina persepsi yang boleh mengelirukan rakyat sebaliknya menyatakan pendirian parti itu secara jelas.

“Jangan cuba alih isu. Jangan bina persepsi jahat. Nyatakan pendirian Pas dengan jelas supaya rakyat boleh menilai sendiri.

“Di mana sebenarnya Pas berdiri dalam soal keadilan, akauntabiliti dan pertanggungjawaban terhadap wang rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here