Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan salah guna kedudukan melibatkan suapan RM 232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan agar empat saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes Janawibawa, dipanggil semula untuk prosiding soal balas lanjutan.

Saksi-saksi tersebut ialah Pengarah Mamfor Sdn. Bhd., Shahradzi Shamsuddin, pemilik Nepturis Sdn. Bhd., Lian Tian Chuan (TC Lian) dan Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Seri Azman Yusoff dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Syawaludin Said.

Shahradzi merupakan saksi pendakwaan ke-20, TC Lian (SP21) manakala Azman (SP27) dan Mohd. Syawaludin (SP1).

Hakim Nur Ruwena Md. Nurdin membenarkan permohonan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang menyentuh isu sumbangan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil empat saksi yang telah memberi keterangan sebelum ini, tertakluk kepada syarat tertentu,” ujarnya.

Pasukan pembelaan memohon keempat-empat saksi berkenaan dipanggil semula ke mahkamah untuk menjelaskan beberapa isu yang telah dibangkitkan ketika perbicaraan.

Terdahulu, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berhujah, permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah berikutan wujud perkara berbangkit untuk disoal balas secara lanjut.

Seksyen itu memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil, memeriksa atau memanggil semula mana-mana individu sebagai saksi pada bila-bila masa semasa siasatan, perbicaraan atau prosiding.

Hujah peguam, isu yang perlu diperjelaskan melibatkan hubungan saksi-saksi dengan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan permohonan projek Janawibawa.

Menurut beliau, jawapan yang telah diberikan pada prosiding lalu tidak memuaskan manakala Adam Radlan yang pada awalnya dijadual memberi keterangan, tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan.

“Sebab itu, kalau Adam Radlan dipanggil beri keterangan, beliau boleh menjelaskan beberapa perkara,” hujahnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan tersebut atas alasan peranan Adam Radlan berhubung permintaan sumbangan telah dijelaskan secara khusus dalam soalan kepada TC Lian.

“Saksi-saksi telah melalui prosiding soal balas yang sangat panjang. Hanya kerana pendakwaan tidak memanggil Adam Radlan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memanggil mereka semula.

“Pendakwaan turut memohon supaya pihak pembelaan tidak mengulangi soalan yang telah ditanya. Ini kerana `threshold’ Seksyen 425 sangat tinggi, jika tidak dipatuhi ia akan membuka kepada `the never ending story’ (kisah tanpa penghujung),” hujah beliau.

Pada prosiding itu, mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan yang mahu memasukkan pernyataan Adam Radlan dalam kes yang dihadapinya (kes itu telah digugurkan selepas beliau membayar kompaun RM4.1 juta) untuk dijadikan bukti keterangan dalam kes Muhyiddin.

Mahkamah kemudian meneruskan prosiding dengan mendengar keterangan pegawai penyiasat kes Janawibawa, Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mazery Mohd. Zaini.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here