MUAR – Seorang lelaki maut selepas cuba mengelak motosikal ditunggang warga emas keluar simpang secara tiba-tiba dalam kemalangan di Jalan Batu Nampak, Parit Ulu di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua motosikal dan sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah motosikal yang sedang membelok keluar dari simpang sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Akibat kemalangan itu, penunggang lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini 2.50 petang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang keluar simpang berusia 66 tahun dan pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai trafik daerah Muar atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















