KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan hampir 500 anggota penguat kuasa mereka tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu termasuk premis yang dikendalikan warga asing.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, tiada arahan yang menghalang anggota penguat kuasa daripada mengambil tindakan terhadap kesalahan di bawah bidang kuasa DBKL.
Sehubungan itu, katanya, DBKL akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut yang tular di media sosial bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat pihak berkuasa.
“Pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dibuat bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut fungsi dan undang-undang yang ditetapkan.
“Ia bukan sekatan kepada anggota untuk menjalankan tugas.
“Bagi kes yang melibatkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.
“Tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan bukan berdasarkan siapa yang mengendalikan sesuatu premis,” katanya.
Tambahnya, DBKL memandang serius sebarang dakwaan mengenai salah laku atau arahan yang menjejaskan tugas penguatkuasaan.
Ujarnya, pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus boleh mengemukakannya kepada DBKL untuk diteliti.
“Penguatkuasaan DBKL dilaksanakan tanpa pilih kasih dan berdasarkan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan hampir 500 anggota penguat kuasa DBKL yang bertugas di lapangan tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis, termasuk premis yang dikendalikan warga asing.
Menurut dakwaan itu, carta organisasi yang kononnya mengasingkan tugasan dilihat hanya menjadi alasan.
“Mengapa penguatkuasaan seolah-olah terikat jika anggota di lapangan sendiri tidak boleh bertindak?
“Kalau benar wujud sekatan dalaman, siapa sebenarnya yang dilindungi?” demikian menurut dakwaan tular itu. – MalaysiaGazette
















