Gambar hiasan

LAPORAN Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 yang dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) baru-baru ini wajar dilihat lebih daripada sekadar angka pencapaian akademik pelajar. Antara perkara yang menarik perhatian ialah lima peratus pelajar Malaysia melaporkan menjadi mangsa buli siber, lebih tinggi berbanding purata tiga peratus negara OECD.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut mengingatkan bahawa buli tidak semestinya berakhir apabila seseorang murid meninggalkan kawasan sekolah kerana dunia digital membolehkan buli terus mengikuti mereka hingga ke rumah.

Perkembangan ini sebenarnya membuka satu persoalan yang lebih besar di mana dalam dunia yang memberikan anak-anak kita akses kepada hampir segala maklumat di hujung jari, adakah mereka benar-benar semakin kaya dengan ilmu?

Persoalan ini penting kerana kemiskinan ilmu tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak mempunyai maklumat, sebaliknya wajar juga dikupas dalam konteks terdedah kepada banyak maklumat tetapi tidak mampu memahami, menilai, membezakan kebenaran daripada kepalsuan dan menggunakan maklumat itu dengan bijaksana.

Dalam erti kata lain, maklumat ialah apa yang kita tahu, manakala ilmu ialah apa yang kita faham dan mampu manfaatkan dengan betul.

Apa yang pasti pada hari ini generasi muda tidak berdepan masalah kekurangan maklumat sebaliknya menghadapi cabaran getir dibanjiri lambakan maklumat yang datang tanpa henti melalui pelbagai platform digital seperti TikTok, WhatsApp, YouTube, enjin carian, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Maka cabaran utama yang perlu kita fahami ialah, lambakan maklumat tidak semestinya melahirkan generasi berilmu kerana jelas sekali sedang berlaku senario di mana generasi muda sukar membezakan antara maklumat yang benar dengan maklumat yang mengelirukan.

Hakikatnya, dalam dunia digital, sesuatu maklumat mudah tular hanya kerana menarik perhatian dan bukannya kerana benar. Misalnya, tajuk sensasi, taktik kandungan video pendek dan kenyataan tanpa sumber boleh tersebar lebih pantas daripada penjelasan panjang lebar atau yang berasaskan fakta. Justeru generasi muda perlu dipupuk budaya menilai sesuatu maklumat yang diterima dan dibaca sebelum membuat sebarang keputusan.

Selain itu generasi muda juga sedang berhadapan dengan cabaran budaya membaca secara pantas sehingga gagal memahami apa yang dibaca dengan jelas. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana membaca bukan sekadar menyebut perkataan atau memahami ayat. Budaya membaca yang sebenar memerlukan seseorang memahami hujah, mencari bukti, membuat perbandingan, melihat hubungan antara idea dan membuat kesimpulan.

Masalahnya, generasi hari ini semakin biasa dengan kandungan yang pendek dan pantas. Mereka boleh menatal puluhan kandungan dalam beberapa minit, tetapi belum tentu mampu membaca satu artikel panjang dan memahami keseluruhan hujahnya. Tegasnya, kita tidak mahu melahirkan generasi yang cepat mendapat jawapan tetapi lambat memahami persoalan.

Kebergantungan berlebihan kepada teknologi dan AI juga mencetuskan pelbagai cabaran. Secara prinsipnya, perkembangan teknologi yang pesat tidak wajar dianggap sebagai musuh kepada ilmu. Sebaliknya, ia boleh menjadi alat pembelajaran yang sangat berkuasa. Misalnya, AI mampu membantu mencari idea, menerangkan konsep yang sukar dan mempercepatkan proses pembelajaran.

Namun, teknologi menjadi masalah apabila ia menggantikan proses berfikir. Amalan seperti setiap soalan terus ditanya kepada AI, setiap tugasan diserahkan kepada AI dan setiap jawapan diterima tanpa disemak, lama-kelamaan anak-anak mungkin memiliki banyak jawapan tetapi kurang keupayaan untuk berfikir sendiri.

Justeru, cabaran pendidikan bukan untuk menghalang generasi muda daripada menggunakan AI, tetapi memastikan mereka menggunakan AI sebagai alat untuk berfikir, bukan sebagai pengganti pemikiran.

Pada masa sama kita juga perlu tangani cabaran kelemahan membina nilai dan pertimbangan ketika berhadapan dengan dunia digital. Isu buli siber yang dibangkitkan dalam PISA 2025 merupakan contoh jelas bahawa teknologi bukan sekadar membawa maklumat, tetapi turut membentuk cara manusia berinteraksi. Lima peratus pelajar Malaysia yang melaporkan menjadi mangsa buli siber bukan sekadar angka biasa kerana di sebaliknya terdapat anak yang mungkin mengalami tekanan, hilang keyakinan diri dan sukar memberikan tumpuan kepada pembelajaran.

Justeru, literasi digital tidak boleh berhenti setakat kemahiran menggunakan telefon, aplikasi atau media sosial. Generasi muda juga perlu mempunyai literasi nilai, iaitu tahu apa yang wajar dikongsi, apa yang perlu disemak, apa yang patut dihormati dan bila perlu berhenti sebelum sesuatu tindakan boleh mencederakan orang lain.

Maka timbul persoalan pokok, bagaimana kemiskinan ilmu ini boleh ditangani? Pertama, budaya membaca perlu dihidup dan disuburkan semula secara lebih meluas. Membaca tidak boleh dilihat sekadar aktiviti akademik untuk lulus peperiksaan, sebaliknya anak-anak perlu dibiasakan membaca pelbagai bahan, daripada buku dan akhbar hingga artikel ilmiah serta bahan digital yang berkualiti. Lebih penting, mereka perlu diajak berbincang tentang apa yang dibaca.

Kedua, pendidikan literasi maklumat dalam kalangan generasi muda perlu terus diperkukuh. Misalnya, anak-anak perlu diajar bukan sahaja cara mencari maklumat, tetapi cara menyemak sumber, menilai bukti, mengenal pasti kandungan palsu dan memahami perbezaan antara fakta, pandangan dan propaganda.

Ketiga, teknologi AI perlu digunakan secara bertanggungjawab dalam pembelajaran. Dalam hal ini peranan para guru sangat penting kerana guru tidak seharusnya terus melarang penggunaannya, tetapi membimbing murid menggunakan teknologi secara bijak. Murid perlu digalakkan menyemak jawapan AI, mencari sumber asal, mengemukakan hujah sendiri dan mempertahankan pandangan berdasarkan bukti.

Keempat, ibu bapa perlu kembali menjadi rakan pembelajaran kepada anak-anak. Sedarlah bahawa tidak memadai sekadar mengetahui berapa lama anak menggunakan telefon tetapi ambil tahu apa yang mereka lihat, baca, percaya dan bincangkan di alam digital. Aktiviti seperti perbualan di rumah tentang berita, kandungan media sosial dan isu semasa boleh menjadi ruang penting untuk membina pemikiran kritis.

Akhirnya, sekolah, keluarga dan masyarakat perlu menyedari bahawa matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan anak yang mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Pendidikan perlu melahirkan manusia yang mampu mencari ilmu, menilai kebenaran, membuat pertimbangan dan menggunakan pengetahuan untuk kebaikan diri serta masyarakat.

Sedarlah bahawa kita sedang memasuki zaman yang tidak pernah kekurangan maklumat. Sebaliknya, kita mungkin berdepan kekurangan kelompok manusia yang mampu menapis maklumat, memahami maknanya dan menggunakannya dengan bijaksana.

Tuntasnya, cabaran generasi muda hari ini bukan sekadar memastikan mereka celik teknologi, tetapi celik ilmu secara menyeluruh. Jangan sampai telefon pintar di tangan memberikan mereka akses kepada seluruh dunia, tetapi mereka tidak mempunyai kemampuan untuk memahami dunia tersebut. Hal ini penting kerana pada akhirnya, kemajuan sesebuah generasi bukan diukur sebanyak mana maklumat yang mampu dikumpulkan, tetapi sejauh mana ilmu yang dimiliki itu mampu membentuk pemikiran, akhlak dan tindakan. – MalaysiaGazette

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
TIMBALAN PENGARAH (KOMUNIKASI KORPORAT)
PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT (PSPK)
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here