ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki menyamar sebagai pengawal keselamatan sebelum memasuki sebuah pusat data yang sedang dalam pembinaan di Gelang Patah di sini, 28 Julai lalu dan mencuri tembaga.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, suspek berkenaan kemudian mengikat pengawal keselamatan warga asing di pusat data yang masih dalam pembinaan itu dan mencuri tembaga dalam stor simpanan.
“Suspek yang berasal dari utara pernah dipenjarakan atas kesalahan sama serta berusia 26 dan 27 tahun itu kemudian menjualnya dengan harga RM50,000.
“Bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri di kawasan Tanjung Kupang dan Kangkar Pulai pada 5 September lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek bukan sahaja terlibat kes pecah masuk di pusat data tersebut tetapi turut terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi parcel di daerah ini.

Menurutnya, dengan penahanan kedua-dua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah, satu kes pecah kedai, satu kes samun stor simpanan tapak projek, satu kes ceroboh rumah dan empat kes curi parcel.
Kata beliau, kedua-dua suspek sebelum ini pernah dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, Kota Setar, Kedah pada 2023 atas kesalahan jenayah dan dadah.
Mereka katanya, kemudian datang ke negeri ini untuk bekerja kilang pada awal tahun ini dan diberhentikan pada Mac lalu atas sebab disiplin sebelum terlibat dalam kegiatan jenayah di daerah ini.
Saifullah berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah bergiat aktif antara pukul pukul 3 hingga 6 pagi yang menyasarkan rumah tidak berpenghuni untuk melakukan pecah masuk rumah dan mencuri bungkusan.
“Kesemua barangan yang diperoleh daripada jenayah ini keseluruhan bernilai RM75,000 dan akan dijual selain untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Ujarnya, hasil tangkapan polis merampas sebuah komputer riba bersama beg, tiga kamera pelbagai jenama, empat telefon bimbit, salinan surat pajak, salinan resit jual emas serta beberapa barangan lain.
Turut dirampas, katanya, dua utas rantai masing-masing berwarna kekuningan dan perak berserta loket, lima pasang anting-anting pelbagai saiz dan bentuk, sebuah Proton Waja serta dua helai resit jual tembaga.
“Semakan mendapati suspek berusia 26 tahun yang merupakan dalang utama mempunyai 11 rekod jenayah manakala satu lagi suspek mempunyai 31 rekod jenayah,” katanya.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek turut didapati positif methamphetamine, katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379, Seksyen 457, Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















