MELAKA – Sebanyak RM128.2 juta diperuntukkan Kerajaan MADANI bagi melonjakkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Melaka, termasuk pembinaan 390 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR), rumah mampu milik serta pelbagai kemudahan awam lain.
Peruntukan itu membabitkan 24 projek pembangunan menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), meliputi sektor perumahan, infrastruktur, pengurusan sisa pepejal, landskap dan kemudahan komuniti.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, RM32.8 juta merupakan peruntukan terbesar bagi pembinaan sel tambahan tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Udang oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Peruntukan ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Negeri Melaka menikmati akses kepada perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang selesa.
“Daripada jumlah itu, RM29.6 juta diperuntukkan bagi pembinaan 390 unit RMR menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), manakala RM10 juta lagi bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah Program Pembangunan Residensi PR1MA Fasa 1 Padang Temu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan siri Jelajah Sentuhan Kasih KPKT 2026 di Pangsapuri Seri Siantan, Bukit Baru di sini hari ini, untuk meninjau 10 projek utama KPKT di beberapa lokasi.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, sebanyak RM8.5 juta turut disediakan bagi projek Residensi Rakyat (PRR) di Klebang, Bukit Katil dan Paya Rumput, sekali gus memperlihatkan fokus kerajaan terhadap penyediaan kediaman yang lebih berkualiti dan mampu dimiliki rakyat.
“RM24.9 juta pula diperuntukkan bagi projek infrastruktur dan kemudahan awam termasuk pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral, Pasar Baru Jasin, gerai MADANI, medan selera, penyelenggaraan tandas awam bertaraf ‘BMW’ serta kerja pembaikan cerun.

“Sebanyak RM5.8 juta juga disediakan untuk penyelenggaraan dan baik pulih 17 projek Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) serta 11 projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM),” katanya.
Tambahnya, turut menerima perhatian ialah komuniti setempat apabila RM5.4 juta disalurkan menerusi inisiatif dana penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi 35 operator di seluruh Melaka.
“Sebanyak RM4 juta pula diperuntukkan menerusi Program Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah di Bandar, membabitkan 125 unit rumah untuk dibaik pulih dan 11 unit rumah baharu dibina.
“Turut diperuntukkan ialah RM877,000 bagi menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Jalan Kubu, RM745,000 untuk pembangunan enam Kampung Baru serta RM3.7 juta kepada PLANMalaysia,” katanya.
Dalam siri jelajah itu, Kor Ming meninjau kerja mengecat bangunan di Rumah Pangsa Kenanga Seksyen 1, tapak pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral, tapak cadangan dewan terbuka dan gelanggang bola keranjang di Taman Semabok Perdana serta projek penggantian lif di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho.
Beliau turut meninjau projek penyelenggaraan TPPM di Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru, rumah penerima bantuan Program Baik Pulih Rumah di Bandar di Bukit Pulau serta ruang niaga Pinggiran Sungai MITC di Ayer Keroh. – MalaysiaGazette
















