KUALA LUMPUR – Aktiviti majikan menggajikan warga asing dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain berjaya dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan hangar di Sepang, Selangor hari ini.
Operasi penguatkuasaan itu menyasarkan tapak pembinaan hangar, ruang gudang serta fasiliti pengujian enjin kapal terbang yang terletak berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa berdasarkan aduan serta risikan yang dilakukan selama seminggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah memeriksa seramai 261 individu terdiri daripada 217 warga asing dan 44 warga tempatan melibatkan pekerja yang diambil bekerja oleh syarikat subkontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.
“Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan itu, kita telah menahan 173 warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun yang melibatkan 147 lelaki warga Bangladesh, 17 lelaki warga Indonesia dan 9 lelaki warga Pakistan.
“Modus operandi iaitu majikan dikesan menggajikan warga asing ini di pusat pembinaan itu dengan menggunakan PLKS syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, kesemua warga asing berkenaan ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan.
“Pasukan operasi turut mengeluarkan lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) kepada warga Malaysia bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















