Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Jabatan Imigresen (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Hanya RM150, pas kerja sementara elektronik (e-PLKS) palsu boleh diperoleh manakala laporan polis palsu pula dijual pada harga RM70 antara kegiatan yang terbongkar dalam serbuan terhadap sindiket haram di Jalan Chan Sow Lin di sini baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu menunjukkan bagaimana sindiket mengambil kesempatan dengan memanipulasi sistem pekerja asing untuk mengaut keuntungan mudah.

Menurut beliau, tindakan berkenaan bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran imigresen malah mengancam keselamatan awam serta membuka ruang kepada pencerobohan warga asing secara haram.

“Sekian lama, sindiket haram mengaut keuntungan mudah dengan memanipulasi sistem pekerja asing dan menjual e-PLKS.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran imigresen, malah mengancam keselamatan awam dan membuka ruang kepada pencerobohan warga asing secara haram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, melalui penguatkuasaan pantas dan tanpa kompromi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin digempur secara serentak menerusi Ops Serkap.

Seramai 40 pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan ke lokasi berkenaan.

Hasil operasi itu, 30 warga asing ditahan, terdiri daripada 11 suspek didakwa sebagai dalang utama iaitu 10 lelaki dan seorang wanita Bangladesh yang mengendalikan premis, selain 19 lagi warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Daripada 19 warga asing berkenaan, 16 adalah warga Bangladesh, seorang Myanmar dan dua Indonesia.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut merampas 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit serta 10 pasport antarabangsa Bangladesh.

Turut dirampas ialah cetakan e-PLKS dan laporan polis palsu.

Kesemua tahanan kemudian dipindahkan ke Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas tindakan KDN, Saifuddin berkata kuasa pentadbiran perlu digunakan secara berani bagi melindungi keselamatan negara.

“JIM tidak lagi bersikap bertahan sebaliknya bertindak secara menyerang untuk melumpuhkan punca utama sindiket. Kepimpinan KDN tegas memusnahkan rantaian penipuan ini dari akar umbi tanpa sebarang toleransi,” katanya.

Dalam masa sama, Saifuddin memberi amaran keras kepada warga asing dan sindiket yang cuba melanggar undang-undang negara.

“Malaysia bukan padang permainan untuk penjenayah. Mana-mana pihak asing atau warga tempatan yang cuba melanggar undang-undang, memalsukan dokumen, atau mengendalikan aktiviti haram akan diburu, ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas,” katanya.

Beliau menegaskan, tiada kompromi terhadap sindiket haram, termasuk pihak yang terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen.

“Tiada kompromi untuk sindiket haram. KDN gempur pemalsu dokumen, pelihara kedaulatan tanah air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Hanya RM150 tawaran khidmat e-PLKS palsu, 11 warga Bangladesh ditahan Imigresen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here