KUALA LUMPUR – Langkah UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) disegerakan dipersoalkan sama ada benar-benar berlandaskan kehendak rakyat atau mempunyai motif tertentu termasuk bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin parti itu dan komponen Barisan Nasional (BN) terjerat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, tiada keperluan untuk PRU-16 diadakan lebih awal kerana tempoh pemerintahan Kerajaan Madani hanya akan berakhir pada November 2027.
Menurutnya, kerajaan ketika ini sedang menguruskan negara dengan baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Motif UMNO untuk mendesak PRU disegerakan tidak mempunyai alasan yang kukuh selain daripada kerakusan mendapatkan kuasa dan ketakutan mereka sekiranya lebih ramai pimpinan BN akan dihadapkan ke mahkamah atas kecurangan pentadbiran mereka yang lalu.
“Justeru, AMK berpegang teguh atas pendirian Kerajaan Madani yang mahu menamatkan penggal pemerintahan selama lima tahun dengan usaha keras yang berterusan untuk membaik pulih negara dengan dasar-dasar ekonomi dan sosial yang mampu, selain kempen anti sakau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan.
Ahmad Zahid turut memberi isyarat bahawa UMNO bersedia membentuk kerjasama politik baharu apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’.
Malah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki turut berkata UMNO berpandangan PRU16 wajar disegerakan kerana tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memasuki “edah pilihan raya”.
Katanya, “edah pilihan raya” merujuk tempoh selepas tiga tahun sesuatu kerajaan mentadbir yang membolehkan pilihan raya diadakan, meskipun tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu Parlimen masih belum berakhir.
Bagaimanapun, langlah itu dipersoalkan Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairuddin.
Beliau berkata Ahmad Zahid perlu membersihkan namanya di mahkamah terlebih dahulu sebelum bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas PRU-16 yang akan datang.
Danish berkata, umum masih maklum terdapat proses perundangan berkaitan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) berkaitan kes Yayasan Akalbudi terhadap Presiden UMNO itu.
Jelasnya, Mahkamah Persekutuan dijadualkan pada 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan beliau dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam prosiding berkaitan cabaran Badan Peguam terhadap keputusan tersebut. – MalaysiaGazette
















