KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 pengunjung memeriahkan Moon Vibes Bazaar anjuran JL99 Group sempena sambutan Hari Malaysia di Legacity Sales Gallery di sini pada 12 dan 13 September lalu.
Jika penganjuran terdahulu membawa pengunjung mengimbau nostalgia Hong Kong dan budaya retro, kali ini JL99 Group tampil dengan konsep Moon Vibes lebih santai, berlatarkan suasana malam serta dihiasi pelbagai aktiviti untuk keluarga, anak muda dan pengunjung pelbagai peringkat usia.
Bazar yang berlangsung dari 5 petang hingga 11 malam itu menghimpunkan lebih 80 peniaga makanan, minuman dan barangan gaya hidup selain persembahan muzik secara langsung, permainan kanak-kanak serta aktiviti bersama haiwan.
Antara tarikan yang mendapat perhatian ialah peluang pengunjung bertemu dan berinteraksi dengan kuda, alpaka perang, rakun, iguana, ular dan kapibara selain aktiviti membelai haiwan yang menjadi tumpuan khususnya kanak-kanak.

Pengasas JL99 Group yang juga penganjur program, Datuk Seri Jeff Lee teruja melihat jumlah pengunjung yang hadir selain berpeluang bertemu sendiri dengan kesemua 80 peniaga yang mengambil bahagian.
“Bagi saya, itu sesuatu yang sangat positif kerana kita bukan sahaja mahu orang datang berkunjung, tetapi peniaga juga mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sambutan positif itu turut dikongsi beberapa peniaga yang mengambil bahagian apabila mereka merakamkan penghargaan kepada JL99 Group dan Jeff kerana memberi ruang kepada peniaga kecil menyertai bazar tanpa dikenakan bayaran tapak.

Mereka menyifatkan peluang itu amat bermakna untuk memperkenalkan produk kepada pelanggan baharu dan membantu meningkatkan jualan malah tetap menikmati suasana program walaupun hujan turun sepanjang acara.
Kemuncak program ialah Lantern Walk sejauh 550 meter yang bermula pada jam 7.30 malam dan disertai kira-kira 300 peserta, dengan 50 peserta terawal yang mendaftar pada setiap hari menerima tanglung secara percuma.
Peserta yang melengkapkan laluan Lantern Walk turut menerima kuih bulan secara percuma, manakala setiap pengunjung yang mendaftar diberikan satu tiket kemasukan percuma ke 99 Wonderland Park.
Dalam masa sama, JL99 Group turut menawarkan promosi khas 99 Legend Property sepanjang bazar berkenaan, termasuk peluang membuat tempahan unit dengan bayaran RM100 serta ganjaran rumah tambahan bernilai RM10,000.
Jeff berkata, kediaman berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM398,000 dengan promosi tersebut terhad kepada 20 unit pertama.

Penganjuran Moon Vibes Bazaar kali ini bukan sahaja menghidupkan suasana malam dengan makanan dan hiburan malah memperlihatkan usaha JL99 Group menyediakan ruang kepada komuniti berkumpul, peniaga kecil memperluaskan pasaran dan keluarga menikmati masa bersama dalam suasana santai. – MalaysiaGazette
















