KLUANG – Tular video anggota polis mengejar sebuah pacuan empat roda yang melarikan diri sambil terdapat kabel diikat pada bahagian belakang kenderaan itu di Jalan Dorset di sini hari ini.
Video berdurasi kira-kira 25 saat itu memaparkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi warna merah menyeret kabel yang dicurinya sedang memecut dan dua anggota polis bermotosikal mengejarnya.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 1.57 pagi tadi sebelum tular dalam media sosial.
“Suspek menggunakan kenderaan jenis Mitsubishi dan terdapat kabel diikat pada bahagian belakang kenderaan. Kejadian itu kemudian dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pukul 5.54 pagi.
“Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan daripada anggota polis rondaan bermotosikal yang terlibat menghala ke tempat kejadian dan berlaku aksi mengejar (kenderaan suspek).
“Semasa mengejar kenderaan suspek seorang anggota polis terjatuh dan mengalami kecederaan sebagaimana yang telah tular dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya masih mengesan suspek terlibat dalam kejadian berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua duanya.
Menurunya, kes juga disiasat bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua duanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi telefon 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 dan tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette
















