Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual dalam Podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menghebahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji bukan keputusan Perdana Menteri secara bersendirian, sebaliknya diputuskan Jemaah Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa perkara itu ke Kabinet dan mendapatkan persetujuan semua anggota Jemaah Menteri sebelum laporan berkenaan dibawa ke Parlimen.

“Saya cadangkan, tapi dalam Jemaah Menteri. Saya tanya, macam mana? Semua setuju.

“Boleh bawa ke Parlimen? Alright. Bila bawa ke Parlimen, pas,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, beliau bukan pihak yang menentukan sama ada seseorang bersalah atau perlu ditangkap.

“Kalau salah, tangkaplah. Saya kata bukan kerja saya nak tentukan siapa salah, nak tangkap bukan kerja saya,” katanya.

Menurutnya, laporan atau maklumat yang ada perlu disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya bagi dasar. Siapa ada laporan, siasat. Siapa siasat? Polis, SPRM dan sebagainya,” katanya.

Anwar berkata, jika terdapat kesalahan, keputusan pendakwaan dibuat mengikut proses undang-undang sebelum mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah.

Beliau turut menegaskan, laporan RCI itu bukan perkara yang boleh digunakan untuk menghukum seseorang berdasarkan persepsi.

“Orang yang tak salah tak akan disabitkan,” katanya.

Anwar berkata, beliau tidak mahu tindakan terhadap sesiapa dilakukan secara zalim kerana pernah melalui pengalaman sendiri ketika berada dalam penjara.

“Saya tidak mahu terlibat dalam apa-apa langkah yang menzalimi orang lain. Ini kerana saya reti harga menzalimi itu, dizalimi puluhan tahun terenggut di penjara. Saya tidak mahu itu berlaku pada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata prinsip tersebut terpakai bukan sahaja kepada individu berprofil tinggi, malah kepada rakyat biasa.

“Bukan sahaja orang besar. Rakyat di bawah yang paling miskin pun,” katanya.

Anwar turut menyebut angka kerugian RM12.5 bilion yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkaitan TH ketika menjelaskan isu berkenaan bukan sekadar politik tetapi melibatkan pengurusan wang dan kepentingan rakyat.

“Ini bukan soal politik. Ini soal bangsa dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here