Foto: FB Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah sudah ada bayangan awal kerjasama yang bakal dijalin dengan Pas Kedah, hasil pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pertemuan ‘santai minum petang’ itu disifatkan sangat positif.

“UMNO Kedah mengadakan kunjungan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini (Selasa) untuk pertemuan secara tidak rasmi dan saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: FB Mahdzir Khalid

Tambahnya, UMNO Kedah juga mendapat bayangan bagaimana untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan jika bergerak bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Saya berjumpa dengan MB Sanusi bersama tiga orang iaitu Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.”

“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Kuala Lumpur Jumaat lalu, Mahdzir menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pas Kedah sebaik berakhirnya perhimpunan itu.

Selepas pertemuan tidak rasmi itu, Mahdzir bagaimanapun tidak memberikan sebarang bayangan bila pertemuan dan perbincangan rasmi bersama pimpinan Pas Kedah akan diadakan.

“Saya akan maklumkan juga kepada pihak kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat Pusat berkaitan pertemuan tidak rasmi dengan pimpinan Pas Kedah ini dan langkah seterusnya akan kita susun selepas ini kerana apa sekalipun keputusan yang hendak dibuat, akan diputuskan di peringkat tertinggi kedua-dua parti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here