JOHOR BAHRU – Kritikan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap layanan diterima Datuk Seri Najib Razak yang mendapat pengampunan diraja tidak boleh disekat dengan mengaitkannya sebagai satu hasutan terhadap institusi diraja.
Presisden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, kebebasan suara rakyat tidak boleh dihalang atau ditakut-takutkan.
“Hanya pengecut sahaja akan gunakan tuduhan hasutan ke atas institusi diraja bila rakyat ingin tunjuk marah ke atas keputusan pengampunan diraja.
“Kita perlu terus berani melawan sebarang keputusan mengangkat kleptokrat tidak kira dari mana pun ia datang,” ujarnya dalam hantaran dalam aplikasi X miliknya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara semalam.
Sementara itu, dalam satu hantaran berlainan dalam aplikasi X, Amira Aisya seakan mempersoalkan keistimewaan yang diterima bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Dulu dapat diskaun 50 peratus, sekarang dapat tahanan rumah pula. Dapat special treatment, walaupun dah terbukti pecah amanah dan curi duit rakyat.
“Inilah undang-undang untuk golongan elit,” tulisnya lagi.- MalaysiaGazette
















