KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat pelbagai lapisan usia mengamalkan gaya hidup sihat dan bersama-sama memelihara negara tercinta.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan acara pelepasan peserta Sarong Run 2026 di Jalan Ampang di sini petang ini.
Tanpa berucap panjang, Anwar turut mengajak peserta memeriahkan acara berkenaan dengan berlari bersama-sama sambil mengenakan kain sarung.

“Terima kasih semua rakyat, muda dan dewasa, wanita dan lelaki. Semangat untuk jaga badan, sihat badan, jaga negara Malaysia tercinta! Jom kita lari bersarung sama-sama,” katanya.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Difahamkan seramai 20,000 peserta menyertai Sarong Run 2026 yang berlangsung hari ini.
Pada majlis pelepasan itu, turut berlangsung gimik pelepasan Jalur Gemilang sepanjang dua kilometer (km).

Sarong Run 2026 turut menampilkan larian sejauh lima kilometer, persembahan muzik, aktiviti kebudayaan serta program keluarga yang meraikan warisan dan kreativiti tempatan.
Acara tahunan itu kali ini turut menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang mengetuai bacaan ikrar.-MalaysiaGazette
















