Tujuh kenderaan di pekarangan sebuah bengkel di Taman Plentong Baru, Johor Bahru musnah dalam kebakaran hari ini.

JOHOR BAHRU – Tujuh kenderaan yang diletak di pekarangan sebuah bengkel di hadapan Balai Polis Plentong di Taman Plentong Baru di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrulnizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 11.32 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 14 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Tebrau ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan tujuh kenderaan termasuk dua lori jenis Toyota yang musnah 50 hingga 65 peratus, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Volvo dan Honda terbakar 80 peratus.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman di pekarangan sebuah bengkel yang mengakibatkan tujuh kenderaan musnah.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua motosikal yang musnah 50 hingga 90 peratus. Kebakaran berlaku ketika kenderaan dalam parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pukul 1.11 tengah hari manakala operasi tamat sepenuhnya pukul 1.21 tengah hari.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Khairuddin, 40, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Kebetulan saya menggunakan laluan di hadapan balai polis itu ketika mahu pulang ke rumah yang terletak berhampiran bengkel ini.

Dua lori jenis Toyota yang musnah 50 hingga 65 peratus dalam kebakaran tersebut.

“Saya tidak pasti sama ada kenderaan itu milik pelanggan atau pemilik bengkel namun kejadian seumpama ini berlaku pertama kali.

“Peniaga di bangunan berhampiran kawasan tersebut mendakwa tiba-tiba terdapat api dan tidak pasti punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here