Antara PATI yang ditahan dalam operasi khas perjudian haram JIM di Pandan Jaya, semalam. - Foto: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan seramai 15 pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi khas membanteras kegiatan perjudian haram di empat premis di Pandan Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu bermula jam 12.01 tengah malam itu hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.

Menurutnya, dua daripada 15 individu ditahan ialah seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang.

Selain itu, kata beliau, turut ditahan ialah tiga lelaki Myanmar; dua lelaki Indonesia; masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan India serta enam wanita Indonesia.

Ujarnya, kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Antara barangan yang dirampas dalam operasi khas perjudian haram JIM di Pandan Jaya, semalam. – Foto: Ihsan JIM

“Semakan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai melakukan pelanggaran imigresen termasuk menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria menambah, dalam operasi sama, pihaknya turut menyita tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

Ujarnya, premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan hanya dibuka kepada pelanggan tetap atau individu yang dikenali.

Selain itu, katanya, premis tersebut turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan pelanggan atau kehadiran pihak berkuasa manakala akses masuk dikawal menggunakan pintu besi bermagnet yang dikunci dari dalam.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, lima lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here