JOHOR BAHRU – Sumbangan petugas barisan hadapan yang komited dalam menjalankan tugas mendapat perhatian Kelab Majestic Motor Group (MG) apabila menyumbang makanan kepada mereka.
Ahli Kelab Majestic MG menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dan Balai Polis Sentral di bandar raya ini malam tadi.
Sebanyak 250 pek makanan diedarkan antaranya nasi lemak, buah-buahan dan air mineral yang disumbangkan rakan-rakan kelab berkenaan kepada petugas.

Jurucakap Kelab Majestic MG, Mas Imran Adam berkata, semasa di HSA, pihaknya bukan sahaja mengedarkan pek makanan kepada jururawat tetapi juga kepada keluarga pesakit di situ.
“Sumbangan ini adalah sebagai ucapan terima kasih kami kepada barisan hadapan yang sentiasa membantu dalam apa jua keadaan. Harap kempen ini akan dibuat sekerap mungkin,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, sumbangan itu juga bagi mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti para petugas barisan hadapan yang kadang-kadang terpaksa berkorban untuk masyarakat melebihi kepentingan diri serta keluarga mereka.- MalaysiaGazette
















