Oleh: Dr. Siti Nurulain Mohd Rum
MALAYSIA kini berhadapan dengan cabaran baharu apabila penggunaan AI dalam ruang politik dan penyebaran maklumat mula mendapat perhatian. Dakwaan mengenai satu operasi manipulasi yang menyasarkan Malaysia dan menggunakan AI serta rangkaian akaun media sosial sedang diteliti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Malaysia bukan baharu berhadapan dengan berita palsu, penipuan dalam talian dan kandungan yang dimanipulasi. Kita sudah mempunyai undang-undang, mekanisme pelaporan, pemantauan platform, usaha pengesanan deepfake dan pelbagai kempen literasi digital.
Namun, AI mengubah sifat masalah tersebut. Kandungan palsu kini bukan sahaja boleh kelihatan lebih meyakinkan, malah boleh dihasilkan dalam jumlah yang besar, disasarkan kepada kelompok tertentu dan disebarkan dengan pantas.
Isu ini kini semakin dekat dengan Malaysia. Pada September 2026, syarikat AI Anthropic melaporkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti dan mengganggu satu operasi manipulasi politik komersial yang menyasarkan pengguna di Malaysia. Menurut laporan tersebut, operasi berkenaan menggunakan teknologi AI dalam satu platform yang dikaitkan oleh Anthropic dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, Turkiye.
Anthropic mendakwa platform itu digunakan untuk membina rangkaian kira-kira 1,000 akaun X palsu, sebuah laman berita palsu dan beberapa dokumen atau “dossiers” yang mengandungi dakwaan rekaan. Laporan itu turut mendakwa bahawa data banci dan data pilihan raya digunakan untuk membuat profil pengundi mengikut kawasan, sebelum maklumat tersebut digunakan dalam usaha menyasarkan khalayak.
Namun, terdapat satu perkara penting yang perlu kita bezakan. Dakwaan ini datang daripada laporan Anthropic dan sedang diteliti. BBS Bilisim Teknolojileri telah menafikan penglibatan, pengetahuan atau kelulusan terhadap aktiviti yang didakwa tersebut. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula dilaporkan sedang meneliti dakwaan tersebut.
Maksudnya disini, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa semua dakwaan tersebut telah terbukti. Namun, satu perkara sudah jelas. AI kini berpotensi digunakan bukan sahaja untuk menghasilkan kandungan, tetapi juga untuk mengatur, menyasarkan dan memperluas penyebaran kandungan politik.
Daripada deepfake kepada “deep influence”
Selama ini, apabila membicarakan hubungan antara AI dengan politik, kita sering membayangkan teknologi deepfake yang digunakan untuk menukar wajah, meniru suara atau memanipulasi video seseorang. Namun, ancaman AI terhadap ruang maklumat sebenarnya jauh lebih kompleks.
Bayangkan sebuah sistem yang mampu mengumpulkan data, mengenal pasti kelompok pengguna, menghasilkan mesej berbeza untuk setiap kumpulan, mencipta akaun media sosial, memantau tindak balas pengguna dan seterusnya mengubah strategi berdasarkan respons yang diterima. Oleh itu, AI perlu dilihat bukan sekadar sebagai alat untuk menghasilkan kandungan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada sistem membuat keputusan.
Dalam konteks Sains Data, proses ini boleh digambarkan sebagai satu kitaran yang melibatkan pengumpulan data, analisis, pembentukan profil pengguna, penghasilan dan penyebaran kandungan, pemerhatian terhadap maklum balas serta pembentukan strategi baharu. Jika keseluruhan proses ini dilaksanakan secara automatik dan berulang, skala pengaruh yang boleh dicapai menjadi jauh lebih besar berbanding operasi yang dijalankan secara manual.
Mengapa data menjadi begitu penting?
Dalam konteks politik, data boleh digunakan untuk memahami ciri sesuatu kawasan, kelompok masyarakat serta isu yang menjadi perhatian mereka. Di sinilah Sains Data memainkan peranan dalam menganalisis tingkah laku pengguna, mengenal pasti jenis kandungan yang paling mendapat perhatian, menentukan waktu kandungan paling banyak dilihat dan memahami bagaimana sesuatu maklumat tersebar dari satu akaun ke akaun yang lain.
Data itu sendiri bukanlah masalah, tetapi risiko timbul apabila data digunakan untuk mempengaruhi atau memanipulasi manusia tanpa pengetahuan mereka. Bayangkan beberapa individu menerima kandungan yang sama sekali berbeza kerana sistem telah menganggarkan perkara yang paling mungkin menarik perhatian atau mencetuskan emosi mereka.
Ada yang menerima kandungan berkaitan ekonomi, ada yang disajikan isu sosial, manakala yang lain didedahkan kepada kandungan yang menimbulkan ketakutan. Akibatnya, mereka mungkin membentuk gambaran politik yang berbeza walaupun
menggunakan platform yang sama.
Oleh sebab itu, perbincangan mengenai AI dan politik tidak boleh terhenti pada persoalan sama ada sesuatu video itu palsu. Kita juga perlu bertanya siapa yang menghasilkan kandungan tersebut, kepada siapa kandungan itu disasarkan, apakah data yang digunakan, bagaimana kandungan tersebut disebarkan dan pihak manakah yang mendapat manfaat daripada penyebarannya.
Politik masa hadapan memerlukan literasi AI
Perkembangan kecerdasan buatan (AI) membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Namun, apabila teknologi yang sama digunakan dalam ruang politik, masyarakat memerlukan tahap kesedaran, pengetahuan dan kewaspadaan yang lebih tinggi.
Hal ini demikian kerana penggunaan AI dalam politik bukan sahaja melibatkan penghasilan kandungan, tetapi juga pengumpulan data, pembentukan profil pengguna, penyasaran mesej dan penyebaran maklumat secara meluas serta pantas. Cabaran yang dihadapi bukan sekadar membangunkan sistem AI yang semakin pintar dan berkeupayaan tinggi.
Kita juga perlu membentuk masyarakat yang mempunyai literasi AI, iaitu keupayaan untuk memahami bagaimana teknologi tersebut berfungsi, digunakan dan berpotensi mempengaruhi pemikiran serta tindakan manusia. Masyarakat perlu sedar bahawa data peribadi dan rekod tingkah laku digital boleh digunakan untuk membuat ramalan tentang kecenderungan mereka.
Algoritma pula boleh menentukan kandungan yang dipaparkan pada skrin, manakala AI generatif mampu menghasilkan teks, gambar, rakaman suara dan video yang kelihatan meyakinkan. Pada masa yang sama, rangkaian akaun palsu boleh digunakan untuk mencipta gambaran seolah-olah sesuatu pandangan mendapat sokongan meluas daripada orang ramai, walaupun sokongan tersebut mungkin direka atau diperbesar secara terancang.
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang pengguna terperangkap dalam ruang maklumat yang dibentuk khas berdasarkan minat, ketakutan, kemarahan atau kecenderungan politiknya. Apabila kandungan yang sama diulang berkali-kali oleh pelbagai akaun, pengguna mungkin menganggapnya benar hanya kerana maklumat tersebut kelihatan popular dan konsisten.
Inilah sebabnya literasi AI perlu melangkaui kemahiran menggunakan aplikasi atau menghasilkan kandungan. Literasi AI juga merangkumi kebolehan mengenal pasti kemungkinan manipulasi, menilai kredibiliti sumber, memahami tujuan sesuatu mesej disasarkan dan menyedari apa yang dipaparkan oleh platform tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti.
Pada akhirnya, teknologi tidak sepatutnya menentukan perkara yang kita percaya. AI boleh membantu kita mencari dan merumuskan maklumat, data boleh membantu kita memahami sesuatu corak, manakala algoritma boleh membantu menapis jumlah kandungan yang terlalu besar.
Walau bagaimanapun, penentuan tentang perkara yang benar tetap memerlukan bukti, semakan silang, konteks dan pertimbangan manusia. Maklumat politik perlu dibandingkan dengan laporan daripada sumber yang berwibawa, kenyataan rasmi serta penjelasan daripada pihak berkaitan sebelum diterima atau disebarkan.
Dalam perkara yang mempunyai kesan terhadap reputasi individu, keselamatan masyarakat atau proses demokrasi, sikap berhati-hati menjadi jauh lebih penting. Dunia politik yang semakin dipengaruhi oleh AI, cabaran terbesar mungkin bukan lagi sekadar mengenal pasti perkara yang sedang kita lihat. Cabaran yang lebih besar ialah menentukan sumber dan maklumat yang benar-benar boleh dipercayai.
Oleh itu, literasi AI perlu menjadi sebahagian daripada pendidikan masyarakat dan budaya kewarganegaraan digital. Demokrasi yang sihat bukan sahaja memerlukan teknologi yang bertanggungjawab, peraturan yang berkesan dan platform yang telus, tetapi juga masyarakat yang mampu berfikir secara kritis sebelum mempercayai dan menyebarkan sesuatu maklumat.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia.
















