KUALA LUMPUR – Filem The Day We Start Again dirasmikan sempena dengan Pelancaran rasmi VYBE Malaysia menerusi acara Xing Yu Grand Honours × The Shining Award 2026 di sini baru-baru ini.
Filem cereka berkenaan hasil buah tangan ke-11 arahan Ryon Lee yang menampilkan kisahnya mengetengahkan impian, cabaran dan usaha untuk bangkit semula dalam kehidupan.
Filem itu menampilkan Olio Tan, Yuan Teng, Charlene An dan Henn manakala barisan produksi terdiri daripada Dr. Kervis Soo sebagai penerbit, Ryon Lee selaku pengarah, DY Loh sebagai pengarah eksekutif, Aron Koh sebagai penerbit penyelia dan Eelin Ooi sebagai penyelaras.
Ryon berkata, karya berkenaan bukan sekadar mengangkat impian dalam dunia perfileman sebaliknya turut menyentuh keberanian untuk meneruskan kehidupan selepas melalui fasa sukar.
“Saya berharap penonton dapat menemukan sesuatu daripada watak dan jalan cerita ini terutama apabila mereka sendiri berdepan satu tahap kehidupan yang memerlukan mereka bermula semula,” katanya.
Pelakon utama Charlene An pula menyifatkan tema bermula semula sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan setiap individu manakala Yuan Teng yang memegang watak Ah Fai teruja untuk memperkenalkan karakter berkenaan kepada penonton.
Sementara itu, pelancaran rasmi VYBE Malaysia menerusi acara Xing Yu Grand Honours × The Shining Award 2026 membuka ruang baharu untuk menghubungkan teknologi, pencipta kandungan, jenama dan industri filem.
Acara bersempena sambutan Hari Malaysia itu turut menyaksikan pemeteraian beberapa kerjasama strategik, penyampaian anugerah serta pelancaran filem cereka The Day We Start Again.
Pengasas Xing Yu Group dan VYBE, Dr. Kervis Soo berkata, platform berkenaan dibangunkan dengan matlamat mempertemukan pencipta, jenama, teknologi dan projek kandungan dalam satu ekosistem.
VYBE Malaysia bersama konsep AI Creator Operating System kemudian diperkenalkan kepada tetamu, dengan platform itu merangkumi penerbitan kandungan, penyertaan pencipta, kerjasama jenama, projek filem dan aplikasi kecerdasan buatan (AI). – MalaysiaGazette
















