KOTA KINABALU – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menziarahi keluarga pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Numbak, di sini pada 30 Ogos lalu.
Dalam kunjungan itu, beliau menyantuni pelajar dan keluarga mereka selain meninjau keadaan serta keperluan semasa mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran berkenaan.
Seramai sembilan pelajar daripada enam IPT terjejas dalam kejadian itu, membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College (NBUC), UNITAR Kota Kinabalu dan Goon International University College (GIUC).
Sebagai bantuan awal, setiap pelajar menerima sumbangan RM3,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), manakala IPT masing-masing turut menyalurkan bantuan tambahan mengikut keperluan.
“Musibah ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah memberikan kesan emosi kepada pelajar dan keluarga.
“Kehadiran kami adalah untuk memastikan mereka tidak berasa bersendirian ketika melalui saat yang sukar ini,” katanya.
Zambry berkata, keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah memastikan kebajikan dan pengajian pelajar terbabit terus terpelihara.
“Kesusahan yang dihadapi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan,” katanya.
Beliau turut meminta IPT terbabit memantau keadaan setiap pelajar dan menyediakan bantuan susulan termasuk kemudahan penginapan, keperluan pembelajaran, sokongan kewangan serta khidmat psikososial sekiranya diperlukan.
Dalam lawatan sama, Zambry turut menziarahi kediaman dua pelajar baharu iaitu Nur Kyra Alya Mohamad Mekah yang bakal melanjutkan pengajian di UMS dan Norsarina Abdullah yang akan mengikuti program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kedua-dua pelajar berkenaan datang daripada keluarga yang berdepan kesukaran kewangan sehingga menghadapi kekangan untuk membuat persediaan dan mendaftar masuk ke universiti.
KPT bersama YPS telah menghulurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua pelajar berkenaan, manakala UMS dan UPM akan membantu dari segi persediaan serta keperluan pendaftaran bagi memastikan mereka dapat memulakan pengajian dengan lancar.
“Anak-anak ini telah memperoleh peluang untuk melanjutkan pengajian. Jangan biarkan masalah kewangan, kos perjalanan atau kekurangan persediaan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang tersebut.
“Jika ada kekangan, maklumkan segera kepada universiti atau Kementerian. Kita akan berusaha mencari jalan supaya mereka dapat masuk ke universiti dan meneruskan pengajian,” katanya.
Menurut Zambry, inisiatif itu selaras dengan pendekatan KPT, universiti dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi untuk lebih tangkas mengenal pasti serta membantu pelajar yang berdepan kesulitan.
Katanya, setiap pelajar yang layak melanjutkan pengajian perlu diberikan bantuan segera dan bersesuaian supaya faktor kemiskinan, musibah keluarga atau kekangan logistik tidak menutup peluang mereka mendapatkan pendidikan tinggi.
“Keluarga besar pendidikan tinggi mesti hadir ketika mahasiswa memerlukan. Kita bukan sekadar membuka pintu universiti, tetapi perlu membantu mereka melangkah masuk dan memastikan mereka mampu meneruskan pengajian dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















