KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia menerima kelulusan pembaharuan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dengan sijil tersebut sah sehingga 30 September 2029.
Pembaharuan ini susulan penilaian kawal selia yang ketat oleh CAAM terhadap pematuhan berterusan AirAsia Malaysia terhadap keperluan operasi pengangkutan udara komersial, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat penerbangan itu dalam rangka kerja kawal selia penerbangan Malaysia.
“Dengan pembaharuan AOC, AirAsia Malaysia terus komited untuk memperkukuh kesalinghubungan, menyokong pertumbuhan ekosistem penerbangan dan pelancongan Malaysia, serta menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan mampu milik kepada jutaan pengembara di Malaysia dan rantau ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.
AirAsia Malaysia kekal sebagai perniagaan terbesar dan teras Kumpulan AirAsia, dengan penambahan pesawat dijangka ditempatkan di pasaran bagi memperkukuh lagi rangkaian domestik dan serantau, di samping menyokong peralihan kepada pesawat berbadan sempit yang lebih cekap.
Dengan bahagian kapasiti sebanyak 61 peratus dalam pasaran domestik Malaysia dan menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan penerbangan di negara ini, AirAsia terus menjadi antara penyumbang utama kepada kesalinghubungan Kuala Lumpur.
Berdasarkan OAG Megahubs Index 2026, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kekal sebagai hab tambang rendah paling terhubung di dunia, selain menduduki tempat keempat sebagai hab antarabangsa paling terhubung di dunia dan tempat pertama di Asia Pasifik.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Datuk Fareh Mazputra berkata, pembaharuan AOC ini membuktikan komitmen berterusan syarikat memenuhi dan melangkaui piawaian kawal selia, operasi dan keselamatan yang ditetapkan bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus untuk beroperasi dengan selamat dan cekap, mengoptimumkan pesawat serta rangkaian kami, di samping terus menawarkan kesalinghubungan udara pada tambang berpatutan kepada jutaan pelancong di seluruh Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Kini, AirAsia Malaysia mengendalikan 1,620 penerbangan setiap minggu ke 15 destinasi domestik dan 73 destinasi antarabangsa di 22 buah negara dengan memperkukuh hubungan perjalanan dari Malaysia ke pasaran utama di ASEAN, Asia, Australia dan destinasi lain di seluruh dunia. – MalaysiaGazette
















