GEORGE TOWN – Seorang pekerja warga Myanmar maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 25 di tapak pembinaan sebuah kondominium di Lorong Perak, Jelutong di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa berusia 31 tahun ditemukan terbaring di tingkat 20 bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu pada jam 6.50 petang.
“Hasil semakan mendapati mangsa yang merupakan pekerja di tapak pembinaan itu dipercayai terjatuh dari tingkat 25 sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring di tingkat 20.
“Siasatan lanjut mendapati ketika kejadian mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan papan di tingkat 25.
“Hasil siasatan terhadap badan mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Abdul Rozak, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
“Satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















