KUALA LUMPUR – Seorang bayi yang tular selepas dilahirkan oleh ibunya yang mengalami tanda-tanda hendak bersalin ketika berada di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 baru-baru ini diberi nama Ahmad Madani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi media sosialnya berkongsi pengalaman apabila berkesempatan menziarahi Ahmad Madani dan keluarganya di kediaman mereka semalam.
“Ziarah ‘Baby MAHA’ Ahmad Madani.
“Semoga Ahmad Madani dan ibunya diberikan kesihatan yang baik dan membesar menjadi anak yang soleh,” tulisnya di Facebook di sini.
Mohamad turut berkongsi detik cemas yang tular di media sosial selepas petugas membantu membawa ibu berkenaan mendapatkan rawatan.
“MAHA 2026 bukan sahaja meriah dengan jutaan pengunjung, kita dapat “Baby MAHA” juga!
“Masih ingat detik cemas seorang ibu yang mengalami tanda-tanda hendak bersalin ketika sedang berada di MAHA 2026? Kisahnya sempat tular di media sosial apabila petugas segera membantu membawa beliau mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, ibu dan bayi selamat, dan si kecil ini diberi nama Ahmad Madani.
“Hari ini, Bang Mat berkesempatan menziarahi Ahmad Madani dan keluarganya di rumah. Seronok dapat mendukung sendiri “Baby MAHA” yang mencuri perhatian ramai ini. Bang Mat turut menyampaikan cenderahati dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga sebagai tanda ingatan.
“Daripada detik cemas di MAHA, akhirnya menjadi satu kenangan yang cukup manis. Semoga Ahmad Madani membesar dengan sihat, menjadi anak yang soleh dan membawa kebahagiaan kepada ibu, ayah serta seluruh keluarga.
“Jumpa di MAHA akan datang Ahmad Madani!” katanya. – MalaysiaGazette
















