KUANTAN – Sehingga semalam, pihak polis telah menerima 24 laporan berhubung insiden pertelingkahan ketika penguatkuasaan pencerobohan tanah di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera, Bera pada 15 September lepas.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azey Akmar Ayub berkata, laporan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat serta orang asli.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan tiada tangkapan baharu yang dibuat.
“Kes itu masih dalam siasatan pihak polis dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Setakat ni tiada tangkapan baharu dilakukan dan tiada lagi tindakan provokasi daripada penduduk di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang.
Dalam majlis itu, Superintendan Afandi Husin akan memangku tugas Ketua Jabatan Pengurusan Pahang selepas pertukaran Asisten Komisioner selepas SAC Mohd Fakhrurazie Che Sulaiman ke Bukit Aman.
Sementara itu, Azry Akmar memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian pertelingkahan membabitkan beberapa penduduk di Chemomoi, Bentong dengan pihak penguatkuasa seperti video tular di media sosial.
“Difahamkan kejadian berlaku ketika operasi yang dirancang dan dijalankan agensi penguatkuasaan tempatan. Tiada laporan dibuat mana-mana pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lima Orang Asli ditahan halang penguat kuasa jalankan tugas di hutan simpan
















