Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dituntut memberi penjelasan berhubung percanggahan kenyataan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai penyelarasan syarat pemilikan ekuiti institusi pendidikan swasta (IPS).

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, percanggahan itu timbul selepas MITI dalam kenyataan hari ini menjelaskan kementerian tersebut tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan ekuiti IPS di bawah KPM.

Menurutnya, MITI turut menjelaskan bahawa perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Seperti ada yang tidak kena apabila hari ini MITI menjelaskan bahawa pihaknya tiada makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan ekuiti institusi pendidikan swasta (IPS) bawah KPM.

“Semalam KPM dalam kenyataan medianya memaklumkan keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan MITI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Syed Ali menuntut Menteri Pendidikan memberikan penjelasan secara telus berhubung percanggahan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, MITI sendiri dalam kenyataannya berharap penjelasan itu dapat memperbetulkan peranan kementerian berkenaan supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas.

Dalam pada itu, Syed Ali berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah KPM menghapuskan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian tersebut.

Menurutnya, langkah berkenaan dikhuatiri menjejaskan dasar pendidikan kebangsaan sekiranya penguasaan bumiputera dalam sektor pendidikan swasta semakin terhakis.

“Tindakan tersebut pada hemat saya dikhuatiri akan ‘membunuh secara perlahan-lahan’ dasar pendidikan kebangsaan apabila penguasaan bumiputera sudah terhakis,

“Walaupun penubuhan IPS lebih menyasarkan kepada keuntungan komersial, tetapi tidak boleh lari daripada tanggungjawab menyemarakkan matlamat pendidikan nasional yang berteraskan jati diri dan prinsip kenegaraan,” katanya.

Beliau turut bimbang pemansuhan syarat ekuiti bumiputera itu akan menyebabkan institusi pendidikan swasta dikuasai sepenuhnya oleh pihak berkepentingan yang lebih mengutamakan keuntungan material berbanding nilai pembangunan pendidikan.

Syed Ali turut mendakwa langkah berkenaan berkemungkinan mempunyai unsur agenda politik yang bertujuan mengurangkan pembabitan orang Melayu dalam pengoperasian IPS di negara ini.

“Saya juga kecewa tindakan KPM yang dilihat seolah-olah mengetepikan kepentingan bumiputera dan tidak terlebih dahulu mendengar pandangan pihak terbabit dengan IPS,” tambahnya.

Beliau turut ralat kerana kenyataan KPM mengenai perkara itu  tidak ditandatangani oleh menteri atau pegawai tertinggi kementerian berkenaan.

“Sepatutnya menteri atau Ketua Pengarah kementerian tersebut menandatangani pemakluman tersebut bagi mengelak kekeliruan umum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here