Team Nusantara

KUALA LUMPUR – Lima pasukan berstatus Benua (Continental) tidak mahu hadir ke edisi 30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), 27 September hingga 4 Oktober ini sekadar menjadi pelengkap 20 pasukan yang bertanding.

Sebaliknya, Nusantara Cycling Team (Indonesia), Thailand Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Aisan Racing Team (Jepun) dan KSPO (Korea Selatan) sedar bahawa mereka membawa maruah negara masing-masing apabila berkayuh di dalam peloton yang dipenuhi pelumba pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam.

Malah rekod juga membuktikan LTdL pernah menyaksikan pasukan dan pelumba pasukan Benua mampu meraih penghormatan tertinggi apabila menang jersi pendahulu individu (GC) dan Pasukan Terbaik Keseluruhan.

Ia bermula pada LTdL 2007 apabila pasukan Benua, Giant Asia Racing Team muncul terbaik dalam klasifikasi berpasukan sekalipun disaingi pasukan handalan Eropah seperti Credit Agricole, Unibet.com, Tinkoff Credit System, Francais des Jeux dan Bouygues Telecom pada edisi ke-12 ketika itu.

Selang tujuh tahun, pelumba Iran, Mirsamad Pourseyedi yang mewakili Tabriz Petrochemical Cycling Team muncul di tangga teratas senarai GC pada LTdL 2014.

Mengikuti jejak Mirsamad selepas itu adalah pelumba TSG dari Russia, Artem Ovechkim yang menang jersi pendahulu pada 2018, diikuti dua tahun berturut-turut oleh Sapura Racing Team (kini dikenali MPC Cycling) yang melihat pelumbanya, Benjamin Dybal dan Danilo Celano berdiri di pentas utama pada 2019 dan 2020.

Pada edisi ke-30 kali ini, Nusantara yang membuat kemunculan pertama pada 2024 tetapi gagal melakukan sesuatu apabila tiga pelumbanya tersingkir kerana lebih masa (OTL) pada Peringkat 4, kembali memperbaiki persembahan mereka pada LTdL25 lalu dengan berada di tangga ke-14 berpasukan keseluruhan, dan muncul Pasukan Asia Terbaik.

Kali ini, Nusantara yang dipimpin pengurus Rastra Patria Dinawan masih mengekalkan barisan yang sama iaitu pelumba terbaiknya pada LTdL25, Maulana Astnan Al Hayat yang berada di tangga ke-37; Muh Iman Arifin (92); Muhamad Ridwan (82); Muhamad Herlangga (46); Ade Meisa (78) dan Ilhan Dzikri Ramadan.

Pengalaman berkayuh pada tahun 2024 dan 2025 menjadi senjata terbesar wakil Indonesia ini meski pun bentuk laluan pada LTdL26 kali ini lebih mencabar berbanding hanya satu pendakian ke Bukit Fraser pada tahun lalu.

Sama seperti Thailand Continental Cycling Team yang berada di tangga ke-16 berpasukan keseluruhan tahun lalu, mereka mengekalkan tiga pelumba iaitu Tanakarn Chaiyasombat (yang ke-21); Aphisit Suphan (38) dan Noppachai Klahan (75); serta memperkenalkan tiga muka baru iaitu Peerapol Chawakiangkwang; Thanachat Yutan; dan Tulatorn Sasalam.
Wakil Jepun, Aisan yang kecewa apabila tiga pelumbanya gagal menamatkan kayuhan (DNF) pada Peringkat 8 dan terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur tahun lalu, hanya menyenaraikan pelumba terbaiknya tahun lalu, Kazuto Minami (tangga ke-36), tetapi membawa tenaga baharu Yuhi Todome; Hijiri Oda; Hayato Tobaru (LTdL24); Rui Udagawa dan Keiko Kamiya untuk memikul cabaran tahun ini.

Nasib sama menimpa KSPO yang hanya menyenaraikan lima pelumba pada awalnya tetapi kehilangan tiga pelumba di akhir saingan, dan dengan hanya Kim Jinwoong (tangga ke-72) dan Shin Byeonghoon (98), wakil Korea Selatan itu tiada dalam klasifikasi berpasukan yang mewajibkan catatan tiga pelumba terbaik.

Selain Jinwoong dan Byenghoon, pengurus pasukan Lee Byeongil turut menyenaraikan Kim Gukhyun; Park Jihwan; Kim Taehyoong; dan Park Taejun yang terkeluar di Peringkat 5 tahun lalu.

Senario berbeza dibawa pengurus 7-Eleven Cliqq, Ric Rodriguez yang kali ini mengekalkan nisbah tiga pelumba kelahiran Filipina yang kesemuanya tiada dalam senarai tahun lalu iaitu Ronnilan Quita; Mervin Corpes; dan Jaypee Orlante; manakala tiga tenaga import kali ini adalah Antoine Arnaud Robert Huby (FRA); James Steven Krzanich (NZL) dan Matthew Joel Sherwin (AUS).

Kehilangan pelumba importnya, Luke Burns seawal Peringkat 2 menyebabkan strategi pasukan itu mengalami kesukaran dan terpaksa akur di tangga ke-13 keseluruhan berpasukan manakala pelumba terbaik adalah Joshua Pascual (tangga ke-35).

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, sekalipun berstatus Benua, tidak mustahil pelumba dan pasukan dianggap kecil itu mampu berdiri di podium.

“Sejarah perlumbaan LTdL sebelum ini sering membuktikan pelumba dan pasukan Asia juga tidak kurang hebatnya seperti yang pernah dilakukan antaranya Wong Kam Po, Koji Fukushima, Samai, Anuar Manan, Taiji Nishitani, Mirsamad, Wang Meiyin, Seo Joon Yong dan Hariff Saleh sendiri yang menang peringkat ketika mewakili pasukan berstatus Benua.

“Apa yang diperlukan oleh pelumba pasukan Benua adalah tidak berasa kerdil dan harus yakin kepada kemampuan sendiri untuk mengatasi pelumba handalan WorldTeam dan ProTeam dari Eropah.

“Dengan tiga pendakian yang dianggap sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands pada LTdL26 ini, mereka seharusnya bertindak lebih bijak dan memasang strategi yang tepat untuk terus memberi cabaran hingga ke akhir,” kata Emir lagi.

LTdL26 berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Edisi ke-30 LTdL26 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here