Pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan tangki septik sebagai sebahagian tindakan penguatkuasaan dan memastikan sistem pembetungan berada dalam keadaan baik menerusi Ops Tok Gajah di sekitar Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Sebanyak 1,338 premis di Kuantan dan Temerloh dikenal pasti gagal melaksanakan pengosongan tangki septik secara berkala, sekali gus berdepan tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Daripada jumlah itu, 54 merupakan premis komersial manakala 1,284 lagi premis domestik yang gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik dikeluarkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Ainal Yusman Mohamad Yusop

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Operasi Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, SPAN bersama IWK melancarkan Ops Tok Gajah bermula 21 hingga 26 September ini menerusi operasi penguatkuasaan secara mengejut di sekitar Kuantan dan Temerloh.

Selain itu, katanya, notis pematuhan turut dikeluarkan kepada pemilik atau penghuni premis yang didapati gagal melaksanakan pengosongan tangki septik seperti ditetapkan.

“Tangki septik individu merupakan tangki mendapan yang mempunyai ruang simpanan terhad.

“Tangki ini direka bentuk untuk menerima air kumbahan daripada tandas, bilik mandi, dapur dan mesin basuh.

“Jika pepejal yang mendap di dasar tangki tidak dikeluarkan secara berjadual, air kumbahan dari premis boleh melimpah keluar lalu mencemari parit atau longkang.

“Isu ini bukan perkara kecil kerana tangki septik individu mempunyai kapasiti penyimpanan yang terhad,” katanya ketika sidang media semasa Ops Tok Gajah di Taman Tas, di sini hari ini.

Pahang merekodkan sebanyak 154,578 tangki septik individu sehingga 2025, termasuk 57,443 di Kuantan dan 21,091 di Temerloh.

Pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menampal notis pematuhan di sebuah premis yang didapati gagal melaksanakan pengosongan tangki septik secara berkala menerusi Ops Tok Gajah di sekitar Kuantan, Pahang.

Secara keseluruhannya, terdapat lebih 1.38 juta tangki septik individu di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut SPAN, pemilik tangki septik diwajibkan menyenggara sistem berkenaan dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan kerja nyahenap cemar dalam tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan Seksyen 65(1)(c), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh menyebabkan individu yang disabitkan kesalahan didenda sehingga RM50,000.

Pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat pemeriksaan serta memberikan penerangan kepada pemilik premis mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berkala dan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan menerusi Ops Tok Gajah di sekitar Kuantan, Pahang.

Malah, di bawah Seksyen 66(1)(a) akta sama, pemilik yang bertanggungjawab terhadap sistem pembetungan persendirian yang terlalu kotor sehingga menjadi kacau ganggu atau membahayakan kesihatan boleh didenda sehingga RM50,000, atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengeluarkan notis pematuhan di sebuah premis yang didapati gagal melaksanakan pengosongan tangki septik secara berkala menerusi Ops Tok Gajah di sekitar Kuantan, Pahang.

Mengikut peraturan ditetapkan, tangki septik dalam kawasan pihak berkuasa tempatan perlu dikosongkan sekali setiap dua tahun, manakala tangki di luar kawasan pihak berkuasa tempatan perlu dikosongkan sekali setiap tiga tahun.

Dalam pada itu, SPAN turut mengedarkan brosur kesedaran kepada pemilik dan penghuni premis bagi menerangkan kepentingan penyelenggaraan tangki septik serta tindakan undang-undang yang boleh dikenakan.

Susulan itu, pemilik dan penghuni premis dinasihatkan supaya mematuhi notis yang dikeluarkan dan memastikan pengosongan tangki septik dilakukan mengikut jadual bagi menjamin kebersihan alam sekitar, kesihatan awam serta kelestarian sistem pembetungan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here