KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy mempersoalkan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang lantang mengkritik Kerajaan Madani berhubung keputusan Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi didakwa berdiam diri mengenai kemelut membabitkan UMNO dan institusi Raja di Negeri Sembilan.
Katanya, keputusan KPM berhubung syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan pusat tuisyen swasta tidak bermakna hak istimewa Bumiputera dihapuskan.
“Jangan mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen perkauman terhadap keputusan yang mempunyai skop yang jelas.
“Akmal mendakwa kita sibuk berpecah sedangkan kerja kerajaan tetap berjalan. Persoalannya, ketika UMNO Negeri Sembilan berdepan kemelut membabitkan Istana Seri Menanti dan institusi Raja, di mana suara beliau?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivamalar berkata, Akmal juga perlu mengambil kira pendirian rakan komponen Barisan Nasional (BN) apabila pemimpin MIC dan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, turut menggesa pengesahan bertulis berhubung status syarat ekuiti Bumiputera bagi pusat tuisyen.
“Jika benar mahu memperjuangkan kepentingan Melayu, mengapa tidak bersuara apabila timbul persoalan berkaitan kedudukan dan kewibawaan institusi Raja di Negeri Sembilan?
“Jangan hanya lantang apabila mengkritik kerajaan Madani, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila isu membabitkan parti sendiri,” ujarnya.
Menurut Sivamalar, rakyat berhak melihat pendirian yang konsisten daripada pemimpin politik, bukannya suara yang hanya muncul apabila sesuatu isu memberikan ruang untuk menyerang pihak lawan.
“Pendidikan jangan dijadikan modal politik untuk mengalih perhatian daripada isu lain yang sedang menjadi perhatian rakyat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















