Caption gambar: Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan serta menahan lelaki dan wanita di sebuah rumah di Flat Haji Manan, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang lelaki berstatus suami orang merayu Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya tidak menahannya semasa ditangkap khalwat dengan seorang janda di Flat Haji Manan di sini hari ini.

Lelaki berkenaan yang berusia 50-an merayu kerana tidk mahu menanggung malu kerana ramai orang mengenalinya di Kluang.

Bagaimanapun pihak JAINJ tidak mempedulikan rayuan lelaki berkenaan dan memberitahu, penguat kuasa mendapat arahan menangkapnya.

Menurut JAINJ, serbuan dilakukan pukul 1.15 pagi selepas mendapat aduan orang awam lelaki berkenaan datang ke rumah sewa janda tersebut yang berusia 30-an.

“Semasa serbuan, penguat kuasa menemui kereta yang dipercayai kepunyaan lelaki di tempat letak kereta di rumah flat tersebut. Tiba depan pintu rumah tersebut, penguat kuasa mendapati pintu dan gril tertutup.

“Penguat kuasa ketuk pintu sambil memanggil dengan kuat sambil beri salam tetapi tiada maklum balas,” menurut JAINJ dalam kenyataan tersebut.

Penguat kuasa mengetuk lagi dengan lebih kuat dan memberi amaran untuk membuka pintu secara paksa.

Setelah lebih 25 minit, seorang lelaki memberi maklum balas sebelum membuka pintu dan penguat kuasa memperkenalkan diri menunjukkan kad kuasa dan masuk untuk membuat pemeriksaan.

Pintu dibuka seorang lelaki yang memakai t-shirt dan seluar panjang dan memberi alasan tidak mendengar ketukan pintu sebelum ini kerana sedang tidur..

“Apabila ditanya, lelaki itu kata berada bersama-sama dengan wanita iaitu bakal isterinya. Penguat kuasa memeriksa bilik pertama yang tertutup rapat tetapi tidak berkunci.

“Penguat kuasa masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan lanjut dan menemui seorang wanita yang memakai kain batik dan tshirt sedang tersedar duduk atas katil.”

Jelas JAINJ, pihaknya juga menemui seorang bayi sedang tidur atas toto dan hasil soal siasat, pasangan itu mengaku hanya bersekedudukan dan bukan suami isteri.

Lelaki berkenaan yang kelihatan pucat mendakwa wanita itu  berstatus janda dan berniaga sambilan itu bakal isterinya tetapi tidak ada apa-apa bukti menunjukkan permohonan untuk bernikah.

“Bayi itu pula adalah anak wanita yang lahir di hospital. Hasil semakan, bayi itu tiada nama bapa dan hanya ada nama ibu sahaja,” kata kenyataan.

Lelaki tersebut kemudiannya mengaku sudah beberapa kali meniduri wanita itu di rumah berkenaan sehingga mengandung dan melahirkan anak.

Pasangan tersebut ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here