SHAH ALAM – Selepas banjir kilat kembali melanda Lembah Klang, Kerajaan Negeri Selangor didesak menjelaskan status kemajuan serta tarikh siap projek tebatan banjir yang menerima peruntukan puluhan juta ringgit.
Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri Selangor Parti Wawasan Negara, Datuk Suhaimi Ghazali berkata, rakyat perlu mendapat maklumat jelas mengenai perkembangan setiap projek terutama di kawasan yang berulang kali terjejas.
“Saya memandang serius isu banjir dan banjir kilat yang terus memberi kesan kepada keselamatan, harta benda, ekonomi serta kehidupan harian rakyat di Selangor.
“Hujan lebat yang melanda Lembah Klang baru-baru ini memperlihatkan cabaran pengurusan banjir masih memerlukan perhatian serius,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kejadian hujan lebat pada 20 September lalu yang mencetuskan banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Di Lembah Keramat, jumlah hujan terkumpul direkodkan mencecah 155.5 milimeter (mm) sehingga 5.30 petang, lebih lima kali ganda berbanding kebiasaan sekitar 30mm.
Hujan lebat hingga sangat lebat dilaporkan berlaku khususnya di kawasan hulu tadahan Ampang, Empangan Klang Gates dan Lembah Keramat, manakala banjir kilat turut dilaporkan di Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang.
Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan banjir kilat, termasuk kenderaan terkandas dan kediaman dinaiki air.
Menurut Suhaimi, berdasarkan Belanjawan Selangor 2026, sebanyak RM54.34 juta diperuntukkan bagi projek tebatan banjir, termasuk Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Bernam dan Kapar Besar.
“Rakyat Selangor perlu mendapat maklumat yang jelas mengenai status kemajuan dan tarikh siap setiap projek tebatan banjir, terutama di kawasan yang berulang kali terjejas,” katanya.
Katanya lagi, tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada projek fizikal sebaliknya aspek pencegahan dan kesiapsiagaan turut perlu diperkukuh.
“Selain projek fizikal, sistem amaran awal dan penyelenggaraan sungai, longkang dan kolam takungan serta kawalan pembangunan di kawasan tadahan juga perlu terus dipantau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















