Ratusan mangsa pelaburan saham i-RPS hadir serah memo kepada AGC hari ini.

PUTRAJAYA – Seramai 210 mangsa yang mendakwa mengalami kerugian RM101.77 juta menerusi program pelaburan saham i-RPS mendesak tindakan lanjut selepas sebuah lagi syarikat yang mempunyai kaitan dengan pengarah sama masih belum dikenakan pertuduhan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perkara itu dibangkitkan selepas beliau bersama wakil mangsa menyerahkan memorandum kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.

“Persoalannya, pengarah yang sama tetapi syarikat lain masih belum didakwa. Kami berharap AGC memberi perhatian terhadap perkara ini dan melihat sama ada terdapat asas untuk tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan hari ini.

Menurutnya, 210 mangsa tampil kepada MHO selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dan pemerdayaan menerusi program pelaburan saham i-RPS yang ditawarkan tiga syarikat tempatan, dengan jumlah kerugian keseluruhan RM101,779,154.32.

Beberapa individu berkaitan telah dikenakan pertuduhan dalam kes berkenaan, namun sebuah lagi syarikat yang mempunyai kaitan dengan individu sama masih belum dikenakan tindakan.

MHO berpandangan, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh termasuk kemungkinan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 jika terdapat asas untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan sama, MHO turut menyerahkan memorandum membabitkan 66 mangsa yang mendakwa mengalami kerugian RM3.16 juta selepas menyertai program pelaburan hartanah.

Hishamuddin berkata, mangsa berkenaan hadir bagi mendapatkan maklum balas mengenai status siasatan terhadap syarikat terbabit terutama apabila individu yang didakwa sebagai dalang utama masih belum dikenakan tindakan undang-undang.

“Mangsa mahu mengetahui perkembangan siasatan dan tindakan yang telah diambil pihak berkuasa. Jika terdapat bukti serta asas undang-undang yang mencukupi, kami berharap tindakan sewajarnya dapat diambil,” tegas beliau.

Beliau berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap kedua-dua kes itu dan memperluaskan siasatan kepada syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan individu yang telah didakwa, sekiranya terdapat asas kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here