PUTRAJAYA – Global Royalty Trading SAL kini boleh menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan itu susulan kehilangan 43 barang kemas yang didakwa berada dalam simpanannya.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri itu untuk mendapat penangguhan tanpa syarat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos lalu.
Dengan keputusan itu, Rosmah perlu mematuhi perintah Mahkamah Tinggi supaya mendepositkan jumlah penuh penghakiman sebanyak RM67,461,027.37 ke dalam akaun pemegang amanah bersama kedua-dua pasukan peguam dalam tempoh sebulan bermula tarikh tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril yang bersidang bersama-sama Datuk Amarjeet Singh Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian secara sebulat suara dan memerintahkan Rosmah membayar kos RM30,000.
Hakim Mohd. Firuz ketika membacakan keputusan itu berkata, panel berpuas hati dan tiada alasan kukuh yang boleh menjustifikasikan mereka untuk memberikan penangguhan tanpa syarat kepada Rosmah.
Mahkamah berpendapat, isu yang dibangkitkan oleh pemohon telah diteliti dan diberi pertimbangan oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika membenarkan penangguhan bersyarat.
Panel itu turut berpuas hati, Rosmah sepatutnya merayu keputusan Mahkamah Tinggi atau mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi menangguhkan perintah itu.
Sebaliknya, isteri bekas Perdana Menteri mengemukakan permohonan untuk mendapatkan penangguhan tanpa syarat untuk tempoh enam bulan sementara menunggu rayuan penuh didengar.
Rayuan dijadual didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Mac tahun depan.
Katanya, penangguhan bersyarat yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi, didapati `bertembung’ dengan satu lagi perintah Mahkamah Tinggi berlainan.
Pada prosiding itu, Rosmah diwakili peguam, Mohamed Reza Abdul Rahim manakala Datuk David Gurupatham dan Venothani Rajagopal mewakili Global Royalty.
Selain itu, Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan mewakili Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Gurupatham ketika ditemui wakil media selepas prosiding berkata, hingga hari ini, Rosmah gagal mematuhi perintah yang mengarahkannya mendepositkan jumlah penghakiman dan kos berjumlah RM150,000 ke dalam akaun bersama.
Menurut beliau, Rosmah sepatutnya merayu terhadap perintah penangguhan pelaksanaan namun beliau tidak berbuat demikian.
Kata peguam, mahkamah sebaliknya menggunakan budi bicara meneruskan pendengaran terhadap permohonan tersebut meskipun terdapat ketidakaturan prosedur.
“Kami menegaskan selaku pemiutang penghakiman, kami berhak menuntut bayaran tersebut. Pemohon tidak menghormati mahkamah dan tidak mematuhi perintah mahkamah serta tidak membayar kos yang ditetapkan.
“Selain itu, pemohon tidak memberikan penjelasan mengenai aset-aset lain dan hanya mengemukakan barang kemas tersebut.
“Satu-satunya bukti lain yang dikemukakan ialah akaun bank yang hanya mengandungi baki RM20 dan tidak aktif (dormant).
“Jumlah RM100,000 itu adalah di Mahkamah Tinggi namun di mahkamah ini, baki yang ditunjukkan hanyalah RM20 dalam akaun yang tidak aktif,” ujarnya.
Selain itu, Gurupatham menegaskan, mahkamah menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan Rosmah tidak mempunyai aset lain.
Oleh yang demikian ujarnya, Global Royalty bersedia untuk kembali ke Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasa perintah tersebut atau mensasarkan aset-aset lain yang dimiliki Rosmah.
Pada 12 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani memerintahkan Rosmah mendepositkan jumlah penuh penghakiman sebanyak RM67,461,027.37 ke dalam akaun amanah yang dipegang peguam kedua-dua belah pihak dalam tempoh sebulan dari tarikh tersebut.
Penangguhan pelaksanaan bersyarat itu bermaksud Rosmah tidak perlu membayar secara terus kepada Global Royalty sementara rayuannya belum diputuskan di Mahkamah Rayuan dengan syarat mematuhi perintah mahkamah untuk mendepositkan jumlah tersebut.
Pada 10 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty dalam tempoh sebulan selepas memutuskan isteri bekas Perdana Menteri itu bertanggungjawab atas kehilangan barang kemas tersebut yang didakwa berada dalam simpanannya.
Global Royalty memfailkan saman pada 29 Mac 2023 mendakwa Rosmah secara palsu menyatakan 44 barang kemas termasuk kalung berlian, gelang dan tiara yang dihantar menerusi ejen syarikat itu dirampas pihak berkuasa Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat itu mendakwa hanya satu barang kemas berada dalam simpanan polis manakala 43 lagi tidak berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Global Royalty mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya telah hilang. – MalaysiaGazette
















