IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh di Jalan Laksamana di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.25 pagi.
Menurutnya, mangsa, lelaki tempatan berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 10.30 pagi bagi tujuan bedah siasat.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















