KUALA LUMPUR – Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA mengecam penahanan Pengarah Eksekutif NGO Mandiri, Amir Hadi dan Pengarah Kewangan, Dobby Chew di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Pengganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
BERSAMA menuntut kerajaan mendedahkan segera asas penahanan kedua-dua individu berkenaan dan mendakwa, penggunaan AMLA dalam kes itu menimbulkan kebimbangan terhadap ruang sivik serta hak masyarakat sivil untuk memperjuangkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan hak asasi manusia.
Menurutnya, AMLA yang diwujudkan bagi membanteras jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan tidak seharusnya digunakan terhadap individu atau organisasi masyarakat sivil tanpa penjelasan yang jelas mengenai asas tindakan berkenaan.
“Penggunaan AMLA di sini tanpa pendedahan awam mengenai bukti atau asas penahanan adalah satu penyalahgunaan kuasa yang berselindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan hari ini.
BERSAMA turut mendakwa, penahanan Amir dan Dobby tanpa ketelusan serta justifikasi yang jelas boleh memberi kesan terhadap ruang advokasi demokratik dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sivil.
Sehubungan itu, BERSAMA menuntut kerajaan mendedahkan secara terbuka dan serta-merta asas penahanan kedua-dua individu terbabit di bawah Seksyen 4 AMLA termasuk sifat kesalahan yang didakwa serta bukti yang menjadi sandaran.
Pihaknya turut menuntut supaya Amir dan Dobby dibebaskan sementara menunggu pengemukaan bukti kukuh dan boleh disahkan bagi menyokong dakwaan terhadap mereka.
Selain itu, BERSAMA menggesa supaya proses undang-undang yang adil diberikan sepenuhnya kepada kedua-dua individu itu termasuk akses tanpa halangan kepada peguam, keluarga serta rawatan perubatan bebas sekiranya diperlukan.
“Kerajaan juga perlu menghentikan penggunaan undang-undang pencegahan pengubahan wang haram dan undang-undang keselamatan lain sebagai instrumen gangguan politik terhadap pembela hak asasi manusia dan penggerak masyarakat sivil,” katanya.
BERSAMA turut menggesa kerajaan melaksanakan agenda reformasi termasuk memastikan undang-undang keselamatan tidak disalahgunakan terhadap pengkritik bagi tujuan menyekat kebebasan bersuara.
Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan penggunaan undang-undang keselamatan dan kewangan secara sewenang-wenangnya atau kabur terhadap aktivis boleh menjejaskan institusi demokratik Malaysia serta komitmen negara terhadap hak asasi manusia.
BERSAMA menegaskan, sebarang tindakan yang melibatkan penarikan kebebasan seseorang perlu berasaskan alasan yang jelas, sah di sisi undang-undang dan boleh dijustifikasikan secara terbuka kepada awam.
BERSAMA turut menyeru organisasi masyarakat sivil, Ahli Parlimen, mahasiswa dan rakyat Malaysia supaya menuntut kebertanggungjawaban penuh kerajaan berhubung perkara berkenaan. – MalaysiaGazette
















