Norsyahriman Md. Arif.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama) menyambut baik pelantikan Profesor Dr. Arifin Abdu sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu berkuat kuasa 18 September lalu.

Presidennya, Norsyahriman Md. Arif berkata, pelantikan itu disifatkan sebagai tepat berikutan rekod kepimpinan dan pengalaman luas Arifin dalam pengurusan universiti, khususnya selepas hampir enam tahun menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Dr. Arifin Abdu atas pelantikan ini dan berharap beliau dapat meneruskan kesinambungan agenda kecemerlangan UPM selaras dengan Pelan Strategik UPM 2026-2030.

“Pelan itu memberi tumpuan kepada empat domain strategik utama iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, kesihatan planet dan kelestarian, kecemerlangan akademik dan inovasi serta pembangunan masyarakat dan universiti,” katanya dalam kenyataan.

Kepertama berharap kepimpinan baharu UPM memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan dan kesejahteraan warga kerja universiti.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk usaha mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih kondusif, harmoni, selamat dan sejahtera selain penambahbaikan berterusan terhadap faedah perubatan, kemudahan pakaian seragam serta peluang kenaikan pangkat.

Kepertama turut mengharapkan pembangunan latihan yang komprehensif dan berimpak tinggi dapat diperkukuh bagi meningkatkan kompetensi, produktiviti serta prestasi staf.

Menurut Norsyahriman, sesi libat urus bersama Kepertama juga perlu diperkasakan khususnya dalam setiap isu strategik yang melibatkan kepentingan dan kebajikan kumpulan pegawai pelaksana UPM.

“Sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah, Kepertama akan terus memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif dan berintegriti.

“Tiada isu yang tidak dapat diselesaikan sekiranya wujud hubungan erat, saling menghormati serta komunikasi dua hala yang matang dan profesional antara Kepertama dengan pihak pengurusan universiti,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan musyawarah yang jujur diyakini mampu membantu menangani setiap isu secara berhemah demi kepentingan bersama dan seluruh warga UPM.

Kepertama turut merakamkan penghargaan kepada bekas Naib Canselor UPM, Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah atas kepimpinan, khidmat bakti dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun menerajui universiti itu.

“Segala jasa baik dan komitmen tinggi beliau dalam menerajui UPM amat dihargai dan akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada legasi kepimpinan yang bermakna buat seluruh warga UPM,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here