Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menuntut penjelasan berhubung arahan yang diberikan kepada polis sebelum pembatalan pertemuan antara Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.

Difahamkan, pertemuan yang sepatutnya diadakan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban pukul 9 pagi tadi bagaimanapun tidak diteruskan atas nasihat pihak berkuasa dengan mengambil kira keadaan semasa.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu menjelaskan sama ada arahan kepada polis semata-mata bertujuan untuk menjaga keselamatan.

“Rakyat berhak bertanya sama ada polis halang pertemuan tersebut dan kononnya ia dibatalkan atas faktor keselamatan. Jika benar, siapa yang memberikan arahan dan apa peruntukan undang-undang yang digunakan?

“Apakah ancaman keselamatan yang menyebabkan Menteri Besar dan anggota pentadbiran sebuah kerajaan negeri tidak dapat menghadiri pertemuan tersebut?” soalnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Muhammad Rafique selanjutnya menyatakan, Mahkamah Persekutuan telah pun menegaskan kedudukan Perlembagaan mengenai hak berhimpun secara aman.

Jelas beliau, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menghukum penganjur ekoran kegagalan memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis, telah diputuskan tidak berperlembagaan.

Katanya, hak berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan, tertakluk kepada sekatan yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.

“Sudah tentu polis mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam namun `keselamatan’ itu tidak sepatutnya jadi perkataan ajaib yang tamatkan semua pertanyaan mengenai punca kuasa.

“Kalau ada ancaman, nyatakan asas tindakan. Kalau ada peruntukan undang-undang, nyatakan peruntukannya. Kalau ada arahan, jelaskan siapa yang mengeluarkannya dan atas kapasiti apa.

“Lebih-lebih lagi bilamana Negeri Sembilan sedang berhadapan dengan pertikaian perlembagaan yang serius.

“Polis juga jelaskan pada rakyat. Ini bukan kerana kita ingin mencabar polis tetapi kita mahu mempertahankan polis sebagai sebuah institusi yang dihormati,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, siapa Yang di-Pertuan Besar yang sah bukan untuk diputuskan oleh anggota polis dalam sekatan jalan raya malah bukan juga diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri melalui kuasa pentadbiran.

Sebaliknya, menurut beliau, pertikaian itu mesti ditentukan menurut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses perlembagaan yang sah.

Jelas Muhammad Rafique, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan sendiri meletakkan jaminan Persekutuan terhadap hak perlembagaan Raja dan, dengan pengubahsuaian yang perlu, Ruling Chiefs Negeri Sembilan, atau lebih dikenali sebagai Undang Luak.

Oleh yang demikian katanya, tindakan institusi Persekutuan dalam keadaan seperti ini mesti kelihatan berkecuali dan mempunyai asas undang-undang yang jelas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here