KUALA LUMPUR – Permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-16 dibuka hari ini dan semua permohonan dibuat secara dalam talian.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, permohonan itu dibuka bagi semua kategori undi pos iaitu Kategori 1A, 1B dan 1C.
Kategori 1A melibatkan anggota polis, anggota tentera, petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR serta petugas media.
Manakala Kategori 1B pula membabitkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara dan Kategori 1C adalah bagi agensi atau organisasi.
“Semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR berkata, tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh diajukan kepada SPR menerusi talian 03-8892 7080 atau e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette
















